KERJASAMA antara Royal Society For Public Health (RSPH) dan Mental Health First Aid (MHFA) di England sejak 15 tahun lalu memberikan refleksi positif terhadap status kesihatan mental dan keselamatan psikologi dalam kalangan pekerja.
Pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh dua badan tersebut berjaya menarik minat majikan tempatan untuk mewujudkan persekitaran dan bagi menyokong tahap kesihatan kakitangan untuk menghasilkan kerja terbaik.
Menurut Ketua Eksekutif RSPH, William Roberts, kesihatan mental yang baik penting untuk orang ramai agar dapat menjalani kehidupan sihat dan memuaskan.
Katanya, majikan dan perniagaan mempunyai peranan penting dalam menyokong pekerja melalui amalan kerja yang lebih baik.
"Kerja yang diuruskan dengan baik dapat menjana kesihatan, produktiviti dan kesejahteraan antara satu sama lain," terangnya.
Hubungan baik antara majikan dengan pekerja dapat membantu memberikan hasil kerja yang berkualiti.
Berdasarkan angka terkini yang dilakukan oleh People Management, United Kingdom membelanjakan sekitar AS$67.7 bilion (RM291 bilion) bagi membantu kakitangan yang mengalami masalah kesihatan mental.
Angka tersebut membuatkan pihak pengurusan Sumber Manusia berusaha untuk mencari jalan keluar kepada masalah tersebut. Jika tidak mendapatkan rawatan yang betul, masalah kesihatan itu akan menjejaskan prestasi kehidupan seseorang sama ada untuk bekerja, hubungan dan akhirnya mengganggu kualiti hidup.
Apabila gangguan kesihatan semakin memuncak, pekerja berkemungkinan tidak dapat hadir ke tempat kerja dan mewujudkan risiko hilang fokus serta minat.
Melihat kepada senario ini, mustahil untuk memisahkan kesihatan mental dan fizikal secara berasingan. Kedua-duanya berkait rapat seperti ekosistem semula jadi antara input dan output.
Kepentingan persekitaran yang menyokong
Kesihatan mental yang baik penting agar dapat menjalani kehidupan sihat dan memuaskan.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah pengurusan kerja berdasarkan kemampuan pekerja. Hal ini kerana seorang dewasa dianggarkan menghabiskan masa sekitar satu pertiga daripada hari mereka di pejabat.
Sokongan penuh antara majikan dan pekerja secara tidak langsung mewujudkan persefahaman dalam perlaksanaan tugas.
Pihak Sumber Manusia juga perlu memastikan persekitaran pekerja dibentuk dalam suasana yang baik, menyokong dan positif. Pendekatan dengan organisasi strategik secara tidak langsung menghapuskan stigma bebanan kerja.
"Penekanan terhadap kesihatan mental tidak hanya fokus di pejabat semata-mata kerana hal itu turut melibatkan persekitaran sosial seperti komuniti dan keluarga.
"Oleh itu penekanan terhadap pengurusan jawatan, kerja dan masa dianggap sebagai pertolongan cemas kesihatan mental di pejabat," tambah Roberts.
Jangan suruh solat, jangan suruh mengaji
Hafreez Adam mengharapkan agar masyarakat sedar apa yang dihadapi oleh individu yang mengalami masalah tekanan mental.
Masih bercakap soal kesihatan mental, baru-baru ini pelakon tanah air, Hafreez Adam menasihatkan agar masyarakat lebih peka dan cakna terhadap keadaan mangsa yang berhadapan dengan masalah berkenaan.
Pelakon berusia 32 tahun itu juga menasihatkan agar jangan memandang remeh terhadap kesihatan mental termasuk nasihat dan cadangan solusi yang ingin diberikan.
"Bila orang kongsi tentang kesihatan mental, jangan terus cakap seperti jaga solat, banyak mengaji. Anda tidak tahu apa yang sedang mereka lalui.
"Saya tidak cakap perkara ini salah kerana memang ia betul. Tetapi, harus diingatkan bukan semua orang yang berkongsi gambar atas sejadah bermaksud mereka tidak solat, tidak mengaji," katanya yang berkongsi pandangan itu di Instagram. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram