MINAT untuk menyertai tarian singa mula bercambah ketika dia berusia lapan tahun. Saat itu, sekumpulan peserta membuat persembahan di sekolah benar-benar memukau sekali gus memuka dimensi baharu dalam hidupnya.
Usai selesai melihat persembahan, remaja perempuan, Khairunnisa Adawiyah Kharil Johari, 14, lantar meluahkan hasratnya kepada dua orang tua untuk menyertai tarian naga. Mujur harapan anak kecil itu tidak ditolak.
“Ketika saya melihat mereka membuat persembahan, saya berasa sangat teruja, seronok dan bersemangat. Kemudian terus saya meminta kepada ummi dan baba (nama panggilan bagi ibu bapanya).
“Ummi dan baba tidak menghalang. Mereka memberi sokongan dan galakkan kepada saya dengan nasihat agar bijak membahagikan masa antara belajar dan latihan nanti,” katanya kepada Majoriti.
Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Tangga, Bukit Beruntung, Selangor itu menggalas tanggungjawab sebagai pemain gendang. Disifatkan sebagai nadi tarian singa, Khairunnisa atau mesra disapa sebagai Nisa mengakui perkara itu bukan satu tugas mudah.
Nisa bersyukur apabila minat mendapat restu daripada kedua orang tua iaitu Kharil Johari Din (paling kiri) dan Zakiah Zainuddin (dua dari kiri).
Katanya, asas tarian singa perlu mengikut rentak dan ritma muzik. Pukulan gentak perlulah mengikut seimbang dengan masa agar tidak terlalu laju ataupun perlahan.
“Tarian singa perlu mengikut rentak muzik. Jadi susunan muzik perlu selari dengan tarian agar kelihatan seragam. Awal dahulu saya berasa sukar untuk melakukannya (pemain gendang), tetapi setelah mendapat sokongan dan dorongan, saya cuba buat yang terbaik.
“Pernah dahulu saya menangis kerana dimarahi akibat melakukan kesilapan. Tetapi itu bukan sebab untuk saya mengalah. Sebaliknya saya mengambil sebagai pembakar semangat untuk menjadi yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.
Melihat kepada kecintaannya terhadap tarian singa, Nisa tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan buat dirinya yang berbangsa Melayu. Baginya budaya itu tidak terhadap kepada satu golongan sahaja.
“Dalam persatuan Yong Jun Lion Dance Bukit Beruntung, kami ada pelbagai bangsa iaitu Cina, Melayu dan India. Kami tidak melihat tarian singa khusus untuk satu bangsa sahaja.
“Lagipun negara kita hidup dengan masyarakat perbagai kaum dan tidak salah untuk kita saling mempelajari budaya masing-masing,” terangnya.
Kumpulan Yong Jun Lion Dance dilatih oleh jurulatih sifu Kobe Chan Yong Zhen.
Jadi ikutan
Mengulas lanjut mengenai tarian singa, bapa Nisa, Kharil Johari Din memberikan sokongan penuh terhadap minat anak kedua daripada lima adik beradik itu. Tidak dinafikan awalnya dia agak meragui keinginan Nisa.
Kebimbanganya jika minat anaknya sekadar bersifat sementara di samping gusar jika mengganggu pembelajarannya nanti. Bagaimanapun telahan Kharil nyata meleset apabila melihat kesungguhan Nisa.
“Sejujurnya sebagai orang tua saya dan isteri memberi sokongan penuh kepada minat anak-anak yang membawa ke arah kebaikan. Saya bertanyakan kepada dia kalau betul-betul ingin menyertai tarian singa ini.
“Dia kata, memang itu yang diinginkan. Jadi saya hantar dia untuk berlatih dan melihat sendiri kesungguhan dan minatnya yang kini sudah empat tahun aktif dalam bidang itu.
Nisa (tengah) bercita-cita untuk menjadi jurulatih apabila dewasa nanti.
“Tambahan selain Nisa adiknya iaitu Khairunnisa Afifah, 12, turut mengikut jejak langkahnya menyertai persembahan tarian singa itu. Saya tidak nafi ada juga adik beradik lain yang turut berminat dan ingin serta, tetapi semuanya mengikut kepada minat masing-masing,” jelasnya.
Menarik mengenai persatuan itu, mereka tidak mengenakan sebarang bayaran yuran. Sebaliknya cukup sekadar kesungguhan, disiplin dan fokus dijadikan sebagai ‘bayaran’.
Sementara itu, Nisa mengharapkan agar akan ada lebih ramai lagi remaja lain untuk mewarisi budaya sekali gus menjadi pelapis kepada generasi akan datang.
Dia juga meletakkan harapan agar dapat menjadi seorang jurulatih apabila dewasa nanti. Nisa meletakkan harapan agar mampu memberikan sumbangan kepada pelapis muda nanti.
“Saya berazam suatu hari nanti lebih ramai pelajar atau remaja seperti usia saya dapat menyertai aktiviti seperti ini. Jika bukan kami orang muda, siapa lagi yang akan mewarisi tradisi ini,” katanya yang turut memberitahu kumpulannya sering membuat persembahan di beberapa acara termasuk sambutan Tahun Baharu Cina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram