PELAKON terkenal, Aeril Zafrel akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba menfitnahnya mengatakan, dia dan isteri menerima bayaran menyokong parti Perikatan Nasional (PN) ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 34, meluahkan perkara tersebut menerusi perkongsian di Twitter yang mengatakan dia sudah mengenalpasti beberapa individu yang mengatakan diri dan isteri, Wawa Zainal menerima bayaran semata-mata untuk menjadi penyokong parti tersebut.
Katanya, tindakan yang dibuat atas kapasiti peribadi dan isteri yang dipalit dengan tuduhan dusta dan fitnah.
“Ianya tidak mencerminkan mewakili parti politik berkaitan. Semoga yang lain matang dalam berpolitik.
“Aku harap korang tak berdegil dan tidak pula menyesal kelak dengan kedegilan diri sendiri. Pada yang lain dan baru mahu menyentuh fitnah dan tuduhan sama, saya sarankan supaya dibuat sejelas mungkin dituju pada aku dan isteri. Senanglah sikit nak proses nanti,” katanya.
Aeril dan Wawa mengenakan kemeja T yang tertera perkataan Perikatan Nasional.
Aeril turut meminta agar pihak berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka pada kadar segera sebelum tindakan lebih serius diambil.
“Aku jamin korang akan dapat juga saman aku. Tapi aku bagi tempoh 24 jam pada korang untuk buat permohonan maaf terbuka dan padam (delete) post (hantaran) berkaitan.
“Kalau ikut undang-undang aku boleh saja tuntut nanti ganti rugi pada korang secara kiraan mudah RM10 x 490k dan belum campur yang lain lagi. Supaya situasi 'makan tak abis' tak berlaku kat korang, adalah lebih baik berkelakuan matang dalam berfikir dan bertindak,” ujarnya.
Pelakon filem 99 Kali Rindu itu turut menjelaskan, dia terbuka jika ada antara individu terbabit ingin teruskan dengan tindakan mahkamah.
“Cepat sikit prosesnya. Tak sabar nak jumpa korang ni. Walaupun sepatutnya aku tak perlu layan sangat korang ni jika ditinjau dari sudut pengikut. Tapi aku layan juga untuk meraikan biadab korang.
“Korang nak aku buktikan kenyataan aku? Tiada masalah (no problem). Jumpa di mahkamah. Di dalam sana boleh sembang lebih sikit,” katanya.
Terdahulu, terdapat beberapa pengguna media sosial memuat naik status di akaun peribadi mereka mengatakan Aeril dan Wawa menerima bayaran untuk terlibat dalam kempen PRU15.
Majoriti berusaha untuk mendapatkan maklum balas pelakon itu dengan lebih lanjut, bagaimanapun dia memaklumkan dirinya sedang sibuk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,