PERKEMBANGAN dunia teknologi masa kini banyak mempengaruhi corak pemikiran khususnya golongan belia. Penggunaan peranti pintar membuatkan mereka terdorong untuk memiliki kerjaya di hadapan kamera yang lagaknya tidak ubah seperti selebiriti.
Meraih keuntungan dengan cara menerima hadiah yang boleh ditukar kepada nilai wang atau bayaran jumlah penonton membuatkan mereka memilih cara sebegitu.
Tidak dinafikan senario sebegitu sudah menjadi satu fenomena di serata dunia tidak mengira sama ada kanak-kanak mahupun individu dewasa.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna pendidikan bukan lagi menjadi keutamaan. Seharusnya menuntut ilmu itu perlu mengikut asuhan Rasulullah SAW iaitu 'menuntut ilmu biar sampai ke negeri China'.
Situasi itu bermaksud usaha untuk mendalami sesuatu perkara yang mendatangkan manfaat itu tiada batasan jarak.
Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob
Bagi Pengerusi Kolej Antarabangsa Inovatif, Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob, dia menyarankan agar tidak pernah berhenti mahupun berasa jemu untuk menuntut ilmu.
Katanya, ilmu itu turut boleh didapati dengan cara menimba pengalaman daripada melakukan sebarang pekerjaan. Paling utama pamerkan kesungguhan dan kerajinan untuk melakukan perubahan.
"Kalau tiada apa yang ingin dilakukan, lebih baik mencari kerja yang mendatangkan faedah. Biarpun memperoleh pendapatan sedikit, tetapi daripada pengalaman itu yang membuatkan kita belajar.
"Tidak terkecuali, apabila kita belajar jangan terlalu meletakkan harapan untuk kerja dalam sektor kerajaan atau ingin terus hidup kerja makan gaji.
"Saya tidak mengatakan itu salah, tetapi maksudnya jangan terlalu mengharap apabila tamat saya pengajian bulan dan bintang selepas tamat pengajian kerana kesenangan itu tidak datang dengan mudah. Disebabkan itu kita perlu berusaha dan menerima sahaja dahulu peluang yang ada untuk menimba pengalaman," katanya kepada media ketika ditemui pada majlis Pelancaran YEG Pesta Sambung Belajar di Putrajaya.
Anak penoreh getah
Generasi muda masa kini lebih banyak terdedah kepada budaya dan gaya hidup media sosial sehingga terlupa untuk belajar.
Mengimbau semula kenangan beliau yang merupakan anak kedua daripada lima adik beradik, cerita Hashim, dirinya datang daripada keluarga sederhana yang mana kedua-dua orang tua bekerja sebagai penoreh getah.
Sejak kecil, kata Hashim, beliau sudah diasuh untuk belajar berdikari untuk memperoleh apa yang dimahukan. Sedar keluarganya yang serba kekurangan, membuatkan dirinya berusaha untuk melakukan anjakan untuk masa depan lebih terjamin.
"Bapa pernah memberitahu saya dahulu agar cuba untuk keluarkan diri daripada kemiskinan buta huruf seluruh keluarga. Pergilah mencari ilmu kerana ilmu itu sahaja yang mampu membuat nasib keluarga lebih baik.
"Saya pegang kata-kata itu sehingga ke hari ini. Disebabkan itu, saya sentiasa meletakkan azam untuk terus menuntut ilmu. Pada saya, jika seseorang itu boleh berjaya sehingga tahap tertinggi dalam pendidikan, jadi mengapa saya tidak boleh?
"Saya akan terus berusaha biarpun perlu belajar siang dan malam kerana pada saya hendak 1000 daya, tidak 1000 dalih," tegasnya yang mahir dalam jurusan perubatan pergigian.
Disebabkan itu, Hashim sangat optimis dalam soal pendidikan dan mengharapkan agar generasi masa kini melihat ilmu lebih berharga daripada harta benda.
Manifesto YEG
Hashim (empat dari kanan) sewaktu mejls Pelancaran YEG Pesta Sambung Belajar
YEG Academy berfungsi sebagai satu institut untuk menggalakkan golongan pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka sekali gus membantu bagi mendapatkan pekerjaan.
Badan penasihat ini ditubuhkan dengan nama YEG Consultant kemudian ditukar kepada YEG Consultant Sdn Bhd pada 2019 bagi membantu dan menghubungkan golongan muda M40 dan B40 untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta memandangkan peluang untuk ke institut pengajian awam terhad.
Pengasasnya, Hassan Ithnin dan Azizul Hakim turut berhasrat agar berpeluang untuk membantu golongan belia khususnya Bumiputera agar berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas tamat persekolahan.
"Kami ada menyediakan bantuan kewangan bagi membantu pelajar yang berkelayakan. Kami turut akan membantu mereka untuk terus mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian," kata Hassan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram