Bermula dengan minat, pelukis jalanan angkat elemen batik ke mata dunia


  • Hobi
  • Rabu, 11 Jan 2023

Antara hasil seni Acit Raman yang dihasilkan dan pamerkan di Dubai, UAE dalam satu acara seni sedikit masa lalu.

BERMULA dengan hobi dan kecintaan terhadap lukisan, jejaka kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang ini meluaskan bakat terpendam sejak kecil dengan menghasilkan lukisan graviti.

Pemilik nama Abdul Rashid Abdul Raman, 38, itu memulakan kerjaya dalam bidang seni digital pada 2003 sebelum bertukar kepada seni graviti sekitar 2007.

Menjadikannya sebagai hobi, Abdul Rashid atau dikenali sebagai Acit Raman Abdullah bangga aktiviti yang dahulu sekadar suka-suka bertukar menjadi kerjaya.

Mesra disapa sebagai Acit, tidak dinafikan hasil seni graviti memberinya ruang untuk lebih mengenai diri sendiri dan membuka ruang untuk mendalami tentang kesenian tersebut bagi menghasilkan lukisan lebih baik.

ABDULRASHADE_PHOTOPROFILE

Acit meminati seni lukis sejak kecil.

“Dahulu, saya buat sekadar sukarela di beberapa lokasi yang dahulunya dianggap sebagai vandalisme. Tetapi, sekarang masyarakat mula melihat itu sebagai satu karya seni dan dijadikan salah satu tarikan pelancongan.

“Memang tidak dinafikan dahulunya orang seni memandang rendah dan negatif terhadap penghasilan seni graviti, tetapi sekarang reaksi berbeza. Boleh dikatakan banyak lokasi menjadikan lukisan graviti sebagai destinasi pelancongan di negeri mahpun negara mereka,” katanya kepada Majoriti.

Lebar sayap

Selain mempamerkan hasil seninya di negara sendiri, Acit turut membuka mata masyarakat luar seperti Taiwan, Hong Kong, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menampilkan karya berbeza daripada biasa, Acit menggunakan konsep batik, bunga dan nusantara sebagai elemen utama dalam menghasilkan lukisan.

IMG_5473

Hasil seni yang dihasilkan oleh Acit dipamerkan di Dubai, UAE.

Usahanya itu tidak sia-sia apabila karya miliknya sering menjadi tarikan dan pujian kerana mempamerkan sesuatu yang berbeza berbanding kebiasaan.

“Apabila saya menghasilkan karya sebegini terutama di negara Eropah dan Amerika Syarikat mereka nyata menggemarinya kerana berlainan daripada apa yang sering mereka lihat sebelum ini.

majoriti2023 (7)

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) turut berbangga dengan hasil seni yang dihasilkan oleh Acit.

Secara tidak langsung ini menjadi satu identiti saya sekali gus tarikan dan menyerlah. Paling penting saya gembira dengan apa yang dilakukan,” ujarnya.

Ikon atau saingan

Setiap pekerjaan yang dilakukan pasti ada cabaran dan dugaan tersendiri. Begitu juga dengan Acit yang turut berhadapan dengan perkara sama.

LC1_4288

Hasil karya seni Acit tidak hanya dipamerkan di Malaysia, tetapi turut mendapat pujian dalam pameran seni di Hong Kong, UAE, Taiwan dan Amerika Syarikat.

Bukan sahaja cabaran terhadap inspirasi dan idea, malah kenalan yang mahir melakukan perkara sama turut menjadi salah satu cabaran kepadanya.

Namun, Acit tidak melihat itu sebagai tentangan untuk mengembangkan kerjayanya. Sebaliknya dia menganggap pengkarya lain sebagai ikon dan ingin berusaha lebih baik.

“Setiap daripada kita ada kelebihan dan kekurangan. Sekiranya orang itu berjaya, saya sentiasa berusaha untuk belajar dan membaiki diri menjadi lebih baik.

“Tiada gunanya kita bermasam muka atau saling hasad dengki. Apabila kita melihat seseorang itu berjaya, apa yang perlu kita lakukan ialah membuat penilaian kekurangan. Sentiasa ada semangat untuk terus berusaha dan berfikiran kreatif.

“Jika gagal, jangan fikir untuk putus asa, tetapi terus berusaha dan sentiasa memikirkan apa yang perlu dilakukan pada masa akan datang. Jadikan mereka itu sebagai ikon dan berusaha untuk melakukan lebih baik,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram