Masih aktif hiburkan peminat, Wan Lestari kecewa promoter show bagai 'bunuh' penyanyi lama 


  • Hiburan
  • Khamis, 05 Jan 2023

Kumpulan Lestari dianggotai oleh Wan, Amir, Kanang, Carlos dan Abon.

UNTAIAN lagu popular seperti Cintu Ketawa dan Airmata, Wangian Cintaku, Sekelip Mata kau Berubah, Tiada Semanis Dulu dan Biar Pedih Hati Teriris antara karya popular nyanyian kumpulan Lestari.

Terkenal sekitar 1990-an, Lesteri dianggotai oleh Wan selaku vokalis, Amir (pemain gitar), Kanang (pemain drum) Carlos (pemain gitar) dan Abon (pemain keyboard) tetap aktif membuat persembahan meskipun terikat dengan komitmen masing-masing.

Begitupun, kesemua ahli tetap akan mencuri masa untuk membuat persembahan demi menghiburkan peminat apatah lagi Lestari sendiri sudah lebih tiga dekad dalam industri.

Melihat kepada penerimaan ramai, Wan meluahkan rasa bangga dan terima kasih kepada peminat kerana tetap menaruh kepercayaan dan memberi peluang buat mereka membuat persembahan.

“Alhamdulilah jemputan undangan itu masih ada cuma kami perlu memilih memandangkan boleh buat persembahan pada hujung minggu sahaja. Sekiranya lokasi terbabit luar daripada Kuala Lumpur, kami perlu mempertimbangkannya semula.

“Sokongan peminat tempatan termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia masih ‘padu’, namun kadangkala kami terkilan dengan tindakan penganjur persembahan.

“Kadar bayaran rendah kadangkala membuatkan kami tawar hati dan kecewa. Tindakan mereka itu seperti ancaman untuk membunuh penyanyi lama,” katanya kepada Majoriti.

Meskipun tidak menjelaskan nilai bayaran, namun bagi Wan angka tersebut tidak bersesuaian memandangkan Lestari membuat persembahan secara berkumpulan.

“Demi kelangsungan ada segelintir artis yang menerima bayaran tersebut meskipun berasa tidak puas hati,” jelasnya.

Perancangan

majoriti2023 (4)

Bercerita lanjut Wan memberitahu Lestari mempunyai perancangan untuk menghasilkan single baharu. Perkara tersebut sudah menjadi agenda mereka sejak dua tahun lalu.

Namun, disebabkan pelbagai kekangan termasuk penularan virus Covid-19 pada 2020, hasrat tersebut terpaksa ditangguh.

“Kami sudah lama hendak buat lagu baru tetapi kos penghasilan yang mahal dan berdepan dengan beberapa halangan membuatkan perlu menunggu masa sesuai.

“Bimbang juga lagu baharu itu nanti kurang diterima memandangkan peminat lebih gemarkan kami menyanyikan lagu lama,” ujarnya.

Selain itu, Wan turut disoal sekiranya mempunyai keinginan untuk menyertai program realiti popular Gegar Vaganza yang menempatkan penyanyi popular era 1990-an sebagai peserta.

Tidak dinafikan, Wan ada menerima beberapa tawaran sebelum ini, namun disebabkan tanggungjawab sebagai pengusaha kantin sekolah, dia tiada pilihan selain menolak.

“Sudah beberapa kali saya ditawarkan, tetapi selepas berbincang saya dapati jadualnya tidak sesuai dengan operasi kantin. Jadi disebabkan itu saya perlu membuat keputusan bijak.

“Tambahan saya juga membuat persembahan bersama kumpulan pada setiap hujung minggu. Jadi banyak perkara yang perlu diambil kira,” jelasnya yang mengendalikan kantin Sekolah Rendah Agama Kampung Jawa, Klang, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram