Wanita bukan simbol insan lemah, Sara Nattaya tak takut 'hidupkan' mimpi 


Sara tidak menggunakan alasan 'wanita' untuk tidak berani mencabar diri meneruskan kerjaya dalam bidang yang kebanyakannnya diterajui oleh lelaki.

MELIHAT kepada pesona jelita yang dimiliki, siapa sangka pemilik nama SaraLeana Nattaya Azmi merupakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada syarikat telekomunikasi MBits Digital Sdn Bhd.

Biarpun kaum Adam sering dikaitkan mendominasi industri tersebut, namun bagi wanita yang mesra disapa sebagai Sara, 32, itu mempunyai pandangan sebaliknya.

Baginya, asal ada kemahuan, pasti ada jalan. Semangat itu digunakan untuk terus 'bernafas' dalam lapangan yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

"Saya ini banyak terlibat sebagai penerbit kandungan maklumat hibur (infotainment) dan kandungan hiburan bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Kemudian saya mendapat ilham untuk menghasilkan kandungan media yang mampu memberikan inspirasi kepada golongan belia ketika melihat permintaan terhadap kandungan dalam talian meningkat sekitar 2014 dan 2015," katanya kepada Majoriti.

Waktu itu Sara menerbitkan rancangan berbentuk figura inspirasi di RTM bertajuk Ikon Malaysia. Bermula daripada penglibatan dengan program itu, Sara kemudian mencabar diri untuk terjun ke bidang telekomunikasi.

"Saya berhasrat untuk memiliki platform sendiri dan memohon kepada Kementerian Komunikasi ketika 2016. Alhamdulillah saya memperoleh empat lesen untuk menjadi syarikat telekomunikasi dan penyiaran digital," ujarnya.

sara2

Sara bercadang untuk meluaskan kandungan dalam talian menerusi penstriman Get Play.

Cabaran

Beralih cerita kepada tentangan yang perlu diharungi, Sara tidak menafikan dirinya dia perlu mengharungi pelbagai dugaan sebelum berjaya pada tahap sekarang.

Sebagai sebuah syarikat komunikasi dan penerbitan kandungan siaran baharu, Sara tidak menafikan usia penglibatan yang masih hijau membuatkan dirinya perlu banyak belajar.

Tambahan, ada pandangan stereotaip bahawa golongan lelaki lebih layak menggalas peranan tersebut berbanding wanita. Ideologi begitu nyata tidak menjadi kudis buat dirinya yang optimis terhadap masa depan dunia teknologi komunikasi.

"Tanpa pengetahuan tentang bidang tersebut, saya perlu belajar segalanya dari bawah. Saya menyahut cabaran itu dan meneruskan usaha untuk melakukannya.

"Saya perlu memikirkan konsep baharu kerana industri ini sendiri sudah matang. Saya perlu mencari idea untuk menawan hati pengguna muda.

"Cabaran ini saya tidak mengharunginya sendiri kerana saya memiliki pasukan yang bersungguh-sungguh. Gandingan rakan niaga turut banyak membantu untuk mengembangkan lagi hala tuju perniagaan," terangnya yang mengendalikan pek pra bayar, Life dan aplikasi penstriman, Get Play.

sara3

Sara turut bertindak sebagai penerbit filem Gadis Jolobu.

Gerbang masa depan

Melanjutkan cerita, Sara tidak menafikan dia melihat peluang luas terhadap cabang penyiaran khususnya penstriman.

Tayangan kandungan over the top (OTT) membakar semangatnya untuk memberikan material terbaik kepada penonton. Di samping menawarkan perkhidmatan terbaik pada kadar mampu milik.

"Sasaran saya untuk membantu golongan seperti pelajar dan ibu tunggal dalam mendapatkan capaian internet terbaik dengan bayaran berpatutan.

"Pihak kami sentiasa berusaha memperbaiki dan menambahbaik sistem dan tawaran perkhdimatan agar dapat memuastkan hati pengguna," ujarnya.

Dalam pada itu, Sara turut menanam impian untuk membangunkan aplikasi khusus buat setiap sektor perniagaan atau perkhidmatan yang ditawarkan.

majoriti2023 (2)

Sara merupakan berdarah kacukan Melayu-Cina-India-Thailand boleh bertutur beberapa bahasa iaitu Inggeri, bahasa Melayu, Mandarin, Kantonis, Thailand dan Perancis.

Baginya, jika dibandingkan Malaysia dengan beberapa negara lain seperti China, India dan Indonesia yang aktif dan giat membangunkan aplikasi bagi cabang pasaran berbeza.

"Saya bukan mengatakan negara kita tidak memeliki semua itu. Ya benar kita ada, cuma kadar penggunaannya masih belum aktif seperti negara lain. Disebabkan itu, saya melihat ini sebagai peluang untuk mengembangkan lagi arena digital tempatan," jelasnya.

Wanita berdarah kacukan Melayu-Cina-India-Thailand itu turut mengharapkan akan ada lebih ramai wanita yang merebut peluang untuk meneruskan impian biarpun berdepan dengan pelbagai kemungkinan.

Paling utama jangan takut untuk menghidupkan 'mimpi' sendiri dan jangan mudah mengalah. Sebaiknya cuba dapatkan sokongan positif daripada individu sekitar yang turut dapat dijadikan sebagai pembakar semangat.

"Wanita sekarang ini banyak mampu berdikari sendiri dan 'gagah'. Teruskan sikap begitu dan paling utama jangan malu untuk bertindak," katanya menutup bicara.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram