SIAR: Dari pentas bina badan ke layar perak, Malek Noor serlah bakat seni


  • Hiburan
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Selain terkenal sebagai atlet bina badan, Malek Noor turut mempunyai bakat seni dalam bidang lakonan dan nyanyian.

BEKAS atlet bina badan negara, Datuk Malek Noor mula menceburi arena sukan sekitar 1983. Ketika itu, beliau baru berusia 24 tahun dan berazam untuk mengharumkan nama negara hingga ke persada antarabangsa.

Nasib nyata menyebelahi anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu yang dahulunya menguruskan gimnasium mula beralih arah kepada bina badan.

Tidak hanya aktif di gelanggang sukan, Malek atau Abdul Malek Mohamed Noor, 68, turut bergiat aktif kerjaya di hadapan kamera.

Beliau nyata berbakat besar dalam lakonan dan membintangi beberapa buah filem yang masih diingati sehingga ke hari ini.

Justeru berikut Majoriti senaraikan lima buah filem yang pernah dibintangi Malek Noor dan terkenal suatu masa dahulu:

Filem: Juara

Tahun: 1991

Filem Juara ditayangkan pada 1991 arahan Yusof Kelana yang membariskan beberapa selebriti popular ketika itu antaranya Sidi Oraza, Salih Yaacob, Raja Azura, Juliza Adzlizan, A.Galak, M. Rajoli dan Datuk Aziz Sattar.

Filem ini berkisarkan tentang kekeluargaan antara empat adik beradik yang saling berusaha membantu antara satu sama lain. Filem ini turut memperlihatkan aksi Malek sebagai peninju.

Filem: Bayangan Maut

Tahun: 1991

majoriti2023 (6)

Sebuah lagi filem arahan Datuk Yusof Haslam yang mempamerkan kebolehan lakonannya sebagai bouncer kelab malam. Boleh dikatakan sebilangan daripada aktor daripada filem Juara turut membintangi Bayangan Maut antaranya A.Rahim, A.Galak, Sidi Oraza dan Salih Yaacob.

Di samping itu, filem ini turut menjadi karya pertama arahan dan terbitan Yusof Hasalam sendiri.

Berlatar belakangkan dunia kepolisan, Bayangan Maut turut dilakonkan oleh Noorkumalasari, Datuk Yusof Haslam, Sabree Fadzil, Ella, Faizal Hussein, Kuswadinata, Noorizan dan Mahyon Ismail.

Filem: Pendekat Mata Satu

Tahun: 1989

majoriti2023 (4)

Dendam seorang anak yang berusaha untuk mencari individu yang sudah menamatkan riwayat bapanya. Disebabkan itu dia sanggup menuntut ilmu persilatan sebagai persediaan untuk menjayakan misinya.

Filem ini merupakan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia di bawah arahan SA Karem manakala dibintangi oleh Datuk Ziela Jalil, Salih Yaacob, Yoseph Hungan, Zaitun Sulaiman dan Sustrisno Wijaya.

Filem: Pemburu Bayang

Tahun: 1993

majoriti2023 (5)

Membawakan watak sebagai Razif iaitu kawan baik kepada Zamri lakonan Shaharudin Thamby. diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam, filem turut memperlihatkan gandingan dua bintang popular sehingga ke hari ini iaitu Ella dan Datuk Awie.

Selain mereka beberapa artis lain seperti Erma Fatima, Raja Azura, Roy Azman, A.Galak, Mahyon Ismail, Yusof Haslam, Izi Yahya, Joe Wings dan Eddie Wings.

Filem: XX Ray

Tahun: 1992

XX Ray antara filem tempatan yang berani mempamerkan kelainan dengan kreativiti penceritaan di luar kotak. Merupakan sebuah filem pengambaraan cereka sains arahan Aziz M.Osman.

Biarpun tidak tersenarai sebagai pelakon utama, kehadiran Malek tetap disedari penonton dengan membuat penampilan khas sebagai pembeli topi keledar ciptaan Amir.

Filem ini turut dibintangi oleh Aziz M.Osman, Faizal Hussein, Datin Nor Aliah Lee, Sharmaine Farouk, Ibrahim Pendek, Edika Yusof, Esma Daniel, Ebby Yus, Erma Fatima dan Jaafar Onn. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram