MEMBUKA lipatan sejarah industri muzik tempatan, irama muzik nasyid pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu sehingga membuatkan pejuang irama KETUHANAN itu tumbuh bagai cendawan.
Tidak dinafikan, lagu berbentuk kerohanian ini tetap memiliki peminat tersendiri sehingga ke hari ini. Dalam pada itu, ada juga lagu yang masih menjadi siulan dan penyejuk halwa telinga meskipun ada yang berusia lebih sedekad.
Oleh itu Majoriti senaraikan kumpulan yang menyanyikan lagu nasyid popular sepanjang zaman sekali gus masih mendapat perhatian pendengar dan kerap diputarkan di corong radio mahupun dimainkan pada acara tertentu.
Brothers
Aktif sekitar 1990-an, kumpulan Brothers pada asalnya dianggotai oleh Allahyarham Salleh Mohamad, Yasin Sulaiman, Abdullah Faiz dan Syah Rizal.
Lagu popular kumpulan ini iaitu Teman Sejati masih mendapat perhatian sehingga ke hari ini. Dihasilkan oleh Yasin manakala lirik, Zahidin, melodi lagu Teman Sejati yang santai mecnceritakan tentang usaha mencari kawan yang mampu mendorong ke arat kebaikan. Lagu lain yang turut popular ialah Doa Perpisahan dan Kau Sahabat Kau Teman.
Tidak hanya aktif menyanyikan lagu kerohanian dalam bahasa Melayu, Brothers turut memiliki beberapa lagu Inggeris seperti Brothers In Islam, A Muslim Country Kid dan It’s A Life Of Test.
Rabbani
Ketika membuat kemunculan pertama kali sekitar 1997, kumpulan Rabbani memberikan satu pandangan berbeza terutama tentang jumlah ahli mereka. Kebiasaannya artis berkumpulan sering muncul sekitar lima atau enam anggota.
Bagaimanapun berbeza dengan Rabbini yang ketika itu memiliki sembilan ahli.
Antara nama-nama yang ahli kumpulan ialah Zul, Rahmat, Asri Ibai, Deen, Lokman, Azadan, Hamzah, Afendi dan Nazrul Azhar.
Lagu ciptaan KRU manakala lirik oleh Nazim dan Asri Ibrahim bertajuk Pergi Tak Kembali cukup memberikan kesedaran dan penyesalan sekiranya tidak bertaubat.
Sebuah lagi lagu yang popular nyanyian mereka ialah Intifada. Selain membawa kelainan kepada jumlah ahli kumpulan, rentak lagu Rabbani turut berbeza berbanding lagu nasyid biasa. Lagu Rabbani lebih rancak dan berentak fast beat.
Raihan
Nama Raihan bukan asing lagi dałam industri muzik tanah air. Kumpulan itu bukan sahaja memenuhi persembahan di Malaysia, tetapi turut melebarkan sayap ke beberapa negara lain di Eropah, China, Indonesia dan Australia.
Raihan menjadi pencetus fenomena dan membuka lembaran baharu terhadap perkembangan dunia hiburan tanah air sekitar lebih 20 tahun lalu.
Mula aktif sekitar 1996, kumpulan yang dahulunya dianggotai oleh Nazrey Johani, Zarie Ahmad, Abu Bakar Yatım, Che Amran, dan Amran Ibrahim banyak memberi nasihat dan pengajaran.
Antara lagu popular nyanyian mereka yang masih diputarkan di radio mahupun berkumandang di majlis perkahwinan seperti selawat Ya Nabi Salamun Alaika, Iman mutiara, Demi masa, Bismillah dan 25 Rasul.
Hijjaz
Kumpulan Hijjaz mula bertapak dalam industri hiburan tanah air sejak 1997 dengan anggotanya terdiri daripada Munif, Isman, Faizal dan Arifin.
Bergerak di bawah Hijjaz Music Entertainment, kumpulan ini banyak melahirkan pelapis muzik nasyid iaitu kumpulan InTeam, UNIC, Ae-man dan Mestica. Beberapa anak didik seperti Hafiz Hamidun, Fitri Haris, Fadzli Aziz dan Suhaimi Saad.
Antara lagu popular yang dinyanyikan oleh kumpulan ini ialah Fatamorgana, Summayah dan Rasulullah.
InTeam
Kumpulan InTeam boleh dikategorikan sebagai pelapis generasi muzik nasyid. Mula aktif sekitar 2000, InTeam yang dahulunya bernaung di bawah Hijjaz Records kini mampu berdiri sendiri. Pada 2005, InTeam mula menubuhkan Inteam Records dan mengubah nama daripada InTeam kepada Inteam.
Pada awal pembabitan, kumpulan ini dianggotai oleh Syah, Hazamin, Hisyam, Rahim dan Suhaimi.
Selain mengetengahkan mesej KETUHANAN, Inteam juga menjadikan elemen percintaan dalam hubungan sebagai intipati lagu. Sesuai umtuk dimainkan pada majlis resepsi iaitu Nur Kasih dan Kasih kekasih.
UNIC
UNIC mula aktif sekitar 2002 dengan dianggotai oleh Fitri, Bazli, Wan Shah dan Apen.
UNIC merupakan kumpulan yang lahir daripada anak didik, Hijjaz. Kumpulan itu bagaimanapun kini aktif bergerak di bawah pengurusan sendiri iaitu UNIC Dot My Pro.
Antara lagu yang menjadi siulan pendengar suatu ketika dahulu ialah Jalinan dan Hanya Tuhan Yang Tahu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram