SIAR: Pelakon wanita popular era 'hitam putih' masih kekal sebagai pujaan hati


  • Hiburan
  • Ahad, 29 Jan 2023

Bakat lakonan Mak Mah (kiri) dalam filem pertama lakonannya, Anak Bapak pada 1968 masih terkesan di jiwa penonton sehingga ke hari ini.

DUNIA filem Melayu dikatakan mula berkembang sekitar 1930-an di Singapura yang dianggap sebagai hub anak-anak seni nusantara ingin mencuba nasib sebagai pelakon, penyanyi mahupun bekerja dalam industri wayang gambar ketika itu.

Semuanya saling berusaha keras demi membuktikan bakat masing-masing meskipun sebilangannya terpaksa menimba pengalaman sebagai kru produksi atau bermula dari bawah.

Selain penerbit dan pengarah, pelakon utama turut memainkan peranan penting sama ada untuk melariskan filem atau atau menyampaikan penceritaan dengan baik.

Bukan sahaja aktor, gandingan heroin juga dapat membuatkan penonton berasa puas menonton sesebuah naskhah di layar perak sementelah sekitar tahun itu, televisyen masih belum wujud.

Industri filem 'hitam putih' mewarnai dunia sinematografi ketika itu sehingga membuatkan penonton tidak sabar menantikan karya baharu untuk ditonton.

Justeru, Majoriti senaraikan barisan pelakon wanita popular era wayang gambar hitam putih:

Datuk Sarimah Ahmad

Kejelitaan beliau tidak dapat dinafikan begitu juga bakat lakonannya selepas muncul buat kali pertama dalam filem Ali Baba Bujang Lapok pada 1961. Kemudian beliau meneruskan kerjaya dengan membawakan watak sebagai Puteri Indera Kachik yang bergandingan dan Tan sri Jins Shamsuddin menerusi Si Tanggang.

Malah, penonton tentu sahaja tidak dapat melupakan kehebatan lakonannya dalam filem Madu Tiga iaitu menjadi isteri ketiga kepada Jamil lakonan Tan Sri P.Ramlee.

Kelembutan dan kejelitaan beliau turut dapat ditonton dalam filem Ibu Mertuaku, Labu dan Labi, Norlela, Tiga Abdul dan Dayang Senandong.

Biarpun terkenal ketika era hitam putih, Sarimah turut membintangi beberapa buah filem warna antaranya Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu, Dia Ibuku dan Sepi Itu Indah.

Normadiah

Normadiah atau Norma dilahirkan Edith Sumampouw di Indonesia yang dahulunya dikenali sebagai Hindia Timur Belanda. Beliau juga seorang pelakon yang tidak asing bagi peminat filem klasik Melayu era 1950-an hingga 1970-an.

Pesona jelita dan kehebatan seni suara serta tarian membuatkan Normadiah turut terlibat dalam menyanyikan beberapa buah lagu dalam filem dan bertindak sebagai koreografi tarian.

Antara filem yang mendapat sentuhan tarian beliau ialah Ketipang Payung (Nujum Pak Belalang) dan Tari Tualang Tiga (Sumpah Orang Minyak).

Sementara itu, Normadiah turut menyanyikan lagu bersama Tan Sri P.Ramlee menerusi filem Bujang Lapok, Panggilan Pulau dan Siapa Salah.

Normadiah memulakan kerjaya lakonan dalam filem pertama, Seniwati arahan A.R. Tompel selepas meninggalkan pentas teater bangsaan.

Bukan sahaja hebat melakonkan watak cinta, Normadiah turut berkebolehan membawa watak antagonis dan komedi. Paling tidak dapat dilupakan wataknya sebagai Dermai iaitu ibu Si Tanggang.

Filem air mata itu tetap menjadi perhatian penonton sehingga ke hari ini begitu juga dengan lakonannya dalam filem Hapuslah Air Matamu yang mana kedua-dua naskhah tersebut menceritakan tentang anak derhaka.

Beberapa filem lain lakonan beliau ialah Kaki Kuda, Dandan Setia, Lela Manja, Sumpah Wanita, Anak Buluh Betong dan Panglima Badol.

Dalam filem Dia Ibuku, Normadiah turut bergandingan dengan teman seangkatannya, Datuk Sarimah Ahmad.

Datin Saadiah

majoriti2023 (5)

Datin Saadiah melibatkan diri dalam dunia perfileman setelah sering berulang-alik ke Studio Jalan Ampas untuk menemani kakaknya, Mariam Baharum (Mariam Tahi Lalat) iaitu ibu kepada Rahimah Rahim.

Kemudian Saadiah pertama kali melibatkan diri dalam filem Rachun Dunia arahan B S Rajhans yang bergandingan dengan Osman Gumanti, Kasma Booty dan Tan Sri P.Ramlee. Difahamkan, Saadiah tidak menggemari untuk membawakan watak sebagai wanita curang, sebaliknya dia lebih tertarik memegang karakter wanita teraniaya.

Gandingan beliau dengan P.Ramlee dalam filem Penarek Becha, Hang Tuah, Semerah Padi, Sarjan Hassan, Musang Berjanggut dan Antara Dua Darjat. Filem lain lakonan beliau ialah Melanchong Ka Tokyo, Nora Zain-Agen Wanita 001, Sial Wanita, Mogok dan Keadilan Illahi.

Latifah Omar

majoriti2023 (4)

Latifah Omar atau nama sebenarnya Fatimah Omar lahir di Kuala Lumpur dan berhijrah ke Singapura sekitar 1950-an untuk menjadi bintang filem hitam putih. Ketika di usia 14 tahun, Latifah mula menyertai pertandingan Ratu Cantik Singapura dan berjaya memenagi pertandingan itu.

Kemudian beliau membintangi filem pertama, Panggilan Pulau arahan S.Ramanathan pada 1954 yang ketika itu Latifah baharu berumur 15 tahun. Latifah banyak melibatkan diri berlakon dalam filem terbitan Cathay Keris selepas berpindah dari Malay Film Productions.

Bersama Cathay Keris, beliau terlibat dalam 26 buah filem dan 12 daripadanya memperlihatkan gandingan beliau dengan aktor Nordin Ahmad seperti Gurindam Jiwa, Lanchang Kuning dan Chuchu Datuk Merah.

Antara filem lain yang dibintangi olehnya ialah Serangan Orang Minyak, Raden Mas, Sumpitan Racun, Rumah Itu Dunia Aku, Naga Tasik Chini dan Putus Sudah Kaseh Sayang.

Ruminah Sidek

Pelakon veteran, Ruminah Sidek yang baru-baru ini muncul dalam filem Didi & Friends The Movie sebagai Nek Kura. Tidak dinafikan, beliau tidak memiliki banyak koleksi filem hitam putih kerana lebih kerap muncul dalam karya berwarna pada tahun 1980-an.

Bagaimanapun, kehebatan lakonan filem pertama, Anak Bapak pada 1968 masih memberi kesan sehingga ke hari ini. Watak Norma yang merupakan seorang penyanyi terkenal cuba menggoda Harun lakonan Tan Sri P.Ramlee cukup menghiburkan.

Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah kerap diberikan untuk berlakon dalam filem seram atau membawa watak mistik seperti nenek kebayan dalam Puteri Gunung Ledang.

Antara filem yang dibintangi beliau ialah Congkak, Jangan Pandang Belakang, Zombi Kampung Pisang, Magika, Senjakala, Suatu Malam Kubur Berasap, Momok:Jangan Cari Pasal!, Paku Pontianak, Kelibat, Hantu Bungkut Ikat Tepi, Redha dan Homestay:Permainan Maut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram