Persis kumpulan idola Kpop, Eclat realisasi impian 13 gadis


  • Hobi
  • Rabu, 02 Nov 2022

Eclat muncul sebagai juara pertandingan Dance Cover Kpop di K-Food Fair 2022, Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor, Oktober lalu.

DEMAM Hallyu atau Korean Wave sedang melanda dunia menerusi kumpulan-kumpulan idola Korea Selatan sehingga menyebabkan tarian mereka diikuti bukan sahaja masyarakat biasa, malah diiktiraf bintang-bintang antarabangsa dunia.

Antara tarian paling hangat pernah menjadi fenomena global adalah tarian Gangnam Style oleh Psy dan semenjak itu, semakin banyak video 'cover' dimuat naik masyarakat untuk mengajuk tarian Kpop dalam media sosial.

Bagi sesetengah orang, video dirakam cukup sekadar untuk kepuasan peribadi, namun bagi sesetengah lain, hobi tersebut mampu dibawa ke peringkat lebih tinggi dengan menyertai kelas dan memasuki pertandingan.

Eclat bermaksud bersinar dalam bahasa Perancis merupakan sekumpulan gadis yang sempat memukau juri dan penonton menerusi lenggok tarian mereka pada pertandingan Dance Cover Kpop Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor, Oktober lalu.

Mandy Chang memainkan peranan sebagai ketua kumpulan Eclat. —@Jwlzi

Memiliki 13 ahli tetap yang terdiri daripada pelajar peringkat pengajian tinggi dan pekerja swasta, kumpulan tersebut melakukan 'cover' tarian So What daripada kumpulan penyanyi wanita, Loona sekali gus meraih tempat pertama dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Ketua kumpulan, Mandy Chang Mun Li mengakui bukan mudah untuk mengumpul kesemua 11 ahli kumpulan terpilih sepanjang persediaan menjelang pertandingan namun dia sangat bersyukur dengan komitmen diberi mereka.

"Untuk lagu ini, kami berlatih selama dua bulan. Bermula dengan dua kali seminggu, kemudian apabila semakin hampir dengan tarikh pertandingan, kami akan perbanyakkan latihan sebanyak tiga atau empat kali seminggu.

"Dari segi kostum, kami beli baju siap dan kami ubah suai mengikut kostum yang dipakai kumpulan idola tersebut. Solekan juga kami lakukan sendiri. Buat 'dance cover' ini macam 'cosplay', pendek kata kami memainkan peranan sebagai idol itu sendiri," katanya kepada Majoriti.

Kostum menyerupai idol disediakan sendiri oleh ahli-ahli kumpulan. — @ezratham.et

Mengimbau kembali kali pertama dia berjinak-jinak dalam dunia tarian, Mandy mengakui agak mencabar baginya untuk melalui transisi sebagai seorang atlet taekwondo kepada penari tarian Kpop.

Mandy yang pernah mewakili sebuah kelab taekwondo di kejohanan antarabangsa sepanjang tujuh tahun dalam bidang sukan itu bagaimanapun mengakui hatinya berubah setelah menyertai kelab tarian di Sunway.

Meletakkan kumpulan Seventeen sebagai inspirasi di sebalik usahanya menguruskan ahli-ahli kumpulan, Mandy mementingkan keserasian dalam kumpulan agar tarian mereka nampak lebih kemas dan harmoni.

"Ahli-ahli kumpulan banyak permudahkan tugas saya sebagai ketua. Mereka akan adaptasi mengikut pandangan saya meskipun masing-masing memiliki gaya tarian berbeza. Ini penting bagi memastikan tarian kami sebagai satu kumpulan seimbang.

"Setiap kali mahu mulakan projek, saya akan tanya dulu siapa ada masa untuk sekian waktu. Kemudiannya kami akan pilih lagu yang akan kami 'cover' berdasarkan jumlah ahli yang lapang ketika itu ," jelasnya lagi.

Pilihan lagu 'cover' untuk setiap projek bergantung kepada bilangan ahli yang memiliki kelapangan pada waktu. — @shaunchin_

Sementara itu, Nurul Syafiza Wan Shariman atau lebih mesra dengan panggilan Jaja, satu-satunya ahli berbangsa Melayu dalam kumpulan Eclat mendedahkan bahawa ahli kumpulannya sangat mesra dengannya meskipun dia tidak mampu bertutur dalam bahasa Cina.

Sebelum menyertai Eclat pada tahun 2019 pada usia 16 tahun, Jaja aktif dalam membuat persembahan tarian traditional di peringkat sekolah serta seorang cheerleader di sebuah kelab sorak di ibu kota.

"Saya mementingkan 'stage presence' ketika melakukan persembahan tarian dan saya menjadikan Kim Chung-ha dan Kim Eugene daripada kumpulan Itzy sebagai role model.

"Dari segi gerak tari, saya kagum dengan YGX, Lee Jung. Saya tak pernah berimpian untuk menjadi idol tapi saya berminat untuk jadi penghibur. Saya sangat suka buat persembahan," tambah pelajar sebuah universiti awam tersebut.

Bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam tarian Kpop, berikut adalah nasihat daripada kedua-dua penari ini.

Jaja merupakan satu-satu ahli kumpulan itu yang berbangsa Melayu. —@Jwlzi

1. Latihan konsisten

Menurut Jaja, latihan adalah kunci bagi seseorang untuk menghasilkan tarian yang kemas dan sempurna kerana otot-otot akan menjadi lebih kuat serta 'muscle memory' akan menggerakkan tubuh mengikut reka tari sebaik muzik dimainkan.

Jaja yang pada mulanya memerlukan tiga jam untuk 'menghafal' satu tarian penuh kini boleh melakukan tarian kemas dan lengkap pada tempoh sama. Memiliki 'body awareness' sangat penting agar seseorang penari itu dapat menyamakan tarian dengan muzik.

2. Penari perlu berkeyakinan

Berkeyakinan adalah satu ciri penting buat seorang penari terutama apabila membuat persembahan kerana penonton akan sedar sekiranya seseorang penghibur itu berasa tertekan di atas pentas.

Penting untuk seorang penghibur merasa seronok membuat persembahan agar vibe tersebut dapat dikongsikan kepada penonton.

3. Sertai kelas menari atau komuniti tarian

Walaupun pada masa ini, sesiapa sahaja boleh menggunakan YouTube untuk belajar sendiri satu-satu tarian, namun kebanyakan mereka yang menari tidak tahu teknik betul sesuatu tarian tersebut.

Setiap orang boleh menari, namun tidak semua orang boleh tampilkan gerak tari kemas dan tepat. Untuk melakukan tarian kemas persis artis Kpop, Mandy menyarankan pembaca menyertai kelab-kelab tarian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram