Obses alat kawalan jauh, lelaki ini kumpul dron sama nilai sebuah Myvi


  • Hobi
  • Rabu, 07 Sep 2022

Firdaus bersama koleksi sebahagian daripada koleksi dron miliknya.

DRON atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) merupakan pesawat terbang tanpa pemandu yang boleh dikawal menerusi alat kawalan jauh atau komputer.

Dahulu, dron hanya digunakan pasukan tentera dalam operasi pemantauan, pengintipan sebelum melakukan serangan ke kawasan musuh.

Namun kini, dron bersaiz lebih kecil dengan fungsi mesra pengguna mampu dimiliki sesiapa sahaja untuk dijadikan alat permainan, menghantar barang serta gajet merakam visual melalui udara.

Bagi pemilik nama Muhammad Firdaus Adnan, hobi pengumpulan dron bermula dengan minat alat kawalan jauh atau nama lainnya RC (remote control) sejak zaman sekolah lagi.

Firdaus menerima sijil profesional daripada Drone Academy Asia dalam bidang Pemetaan Udara dan Ukur.

"Dahulu, saya minat tengok orang main kereta kawalan jauh, kapal terbang kawalan jauh, bot, kereta kebal kawalan jauh dan sebagainya. Antara ciri-ciri yang ada pada dron paling saya minati adalah sistem pengesanan global (GPS), kamera beresolusi tinggi, empat bilah kipas, livestream dan sistem-sistem lain.

"Saya mula mengumpul dron ketika menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak pada tahun 2015. Dron pertama saya beli adalah keluaran DJI model yang bernama DJI Phantom 3 standard secara terpakai. Model yang lengkap dengan ciri ciri keselamatan teknologi daripada DJI itu sesuai untuk beginner. Saya membeli pada harga RM2,800 ketika itu.

"Alhamdulillah, mak, ayah dan isteri saya menyokong hobi saya ini. Untuk pengetahuan, ayah saya antara penyumbang modal semasa awal-awal saya berjinak-jinak dalam hobi mengumpul dron," katanya kepada Majoriti.

Tambah Firdaus, pengalaman uniknya sepanjang menjadi pengumpul dron adalah peluang menjana wang daripada teknologi tersebut terutama semasa masih lagi bergelar mahasiswa.

Antara pelanggan yang pernah menggunakan khidmat rakaman daripada dronnya adalah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Menara UNITI KL, Hotel Holiday Inn Glenmarie, Hotel Swiss Garden Bukit Bintang serta beberapa projek yang lain.

"Rezeki pertama saya bersama dron adalah ketika saya masih lagi belajar. Saya pernah dipanggil oleh syarikat korporat untuk buat rakaman dron dari udara di Bukit Tunku, Kuala Lumpur bersempena majlis pelancaran syarikat berkenaan.

Memenangi tempat ketiga cabaran drone peringkat Neger Sembilan anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersempena Maal Hijrah 2020.

"Selain itu, momen yang akan saya ingat sebagai pengumpul dan pengendali dron adalah ketika memenangi tempat ketiga cabaran video dron peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersempena Maal Hijrah tahun 2020," ujarnya yang kini bergelar videographer sepenuh masa.

Setakat ini, Firdaus telah mengumpul lima dron yang mana empat daripadanya adalah model keluaran DJI dan satu lagi model keluaran Yuneec. Firdaus sanggup menghabiskan hampir RM19,000 semasa membeli DJI Inspire Pro dan kamera Zenmuse x5r.

Menurut Firdaus, keseluruhan modal untuk membeli kesemua dron dimilikinya sama harga dengan membeli sebuah kereta Perodua Myvi. Justeru, dia 'menatang' kesemua peralatan itu seperti minyak yang penuh.

"Tidak lupa pengalaman apabila dron saya terjatuh di Bukit Taisho, Negeri Sembilan. Ketika itu ada program RTM di atas bukit. Saya dilantik sebagai pengendali dron oleh RTM untuk membuat rakaman dari udara. Tak semena-mena dron saya dijolok oleh individu tidak bertanggungjawab ketika terbang rendah. Dron pun mengalami sedikit kerosakan di bahagian gimbal kamera," tambahnya menutup bicara.

Pandangan dari atas Saloma Bridge, Kuala Lumpur yang dirakan menggunakan dron milik Firdaus.

Berikut adalah tip buat mereka yang mahu mengumpul dron seperti Firdaus.

1. Ketahui niat dahulu.

Beli dron untuk apa? Adakah untuk hobi, bekerja, atau bermain santai sahaja. Jika untuk hobi dan bekerja, Firdaus sarankan pembeli mengambil model yang ada GPS, sistem kamera, brushless motor, kapasiti bateri yang baik dan sebagainya. Ini penting kerana untuk hobi, pembeli perlu menitik beratkan kualiti dron agar dapat bertahan lama.

2. Kegunaan untuk pendapatan pasif.

Antara jenama yang paling dipercayai di pasaran sekarang adalah model keluaran DJI dan Autel Robotics. Ini adalah jenama yang sangat dipercayai dari segi teknologi dron, sistem AI yang canggih dan spare part yang mudah didapati di Malaysia. Dron kategori profesional atau hobi boleh didapati dengan harga dari RM4,000 hingga ke RM80,000 bergantung pada spesifikasi dan penggunaan.

3. Kegunaan santai

Jika hendak beli hanya untuk santai-santai sahaja, bolehlah mencari dron dengan bajet RM1,000 ke bawah di kedai-kedai permainan atau Shopee. Banyak pilihan dron kategori mainan boleh didapati dengan harga murah siap dengan sistem kamera dan WIFI untuk kawalan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram