Tuntutan kerja tidak halang Davina teruskan 'hobi' berbakti di masa lapang


  • Hobi
  • Rabu, 21 Sep 2022

Davina bersama anak-anak pelarian ketika sebuah program bersama komuniti tersebut.

SUATU ketika dahulu, aktiviti sukarelawan dikaitkan dengan misi kemanusiaan berskala besar, namun kegiatan itu kini menjadi semakin popular dalam kalangan golongan yang cakna dan prihatin dengan isu-isu sosial secara global atau tempatan.

Sesetengah individu memilih untuk melakukannya secara serius dengan menumpukan pada satu-satu badan kebajikan untuk jangka panjang manakala sesetengah lagi melakukan aktiviti sukarelawan pada masa lapang.

Bagi pemilik nama Davina Devarajan, kerjayanya sebagai penasihat pengurusan prestasi dan pembangunan sektor awam di pertubuhan penasihat keusahawanan, PEMANDU tidak menghalang dirinya daripada meneruskan minat untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan.

Bermula sebagai sukarelawan biasa, gadis berusia 27 tahun itu kini merupakan pengasas bersama program Women For Refugees (WFR) yang bertujuan memperkasakan wanita-wanita pelarian di Malaysia.

Davina (depan, dua dari kanan) bersama pasukan projek girls for girls.

Meskipun terpaksa berpangkalan di Rwanda, Afrika Selatan bagi tujuan profesional, Davina masih mengambil peluang bagi memastikan minatnya itu dapat diisi dengan menjadi guru sukarela kepada kanak-kanak di sana pada setiap hujung minggu.

Pada masa sama, Davina turut memastikan projek WFR yang diasas bersama rakan, Arissa Jemaima Ikram di tanah air terus berjalan lancar dan kebajikan wanita-wanita pelarian di bawah projek tersebut terus terbela.

"Kerja komuniti adalah salah satu aktiviti yang biasa saya lakukan sepanjang saya membesar. Saya selalu lakukan aktiviti sukarelawan ketika masa lapang sejak di bangku sekolah.

"Saya sertai banyak aktiviti sukarelawan yang melibatkan golongan-golongan terpinggir seperti golongan pelarian, B40 dan wanita. Ketika pandemik, Mercy Malaysia buka klinik khas untuk golongan pelarian.

"Di situ, kami jumpa ketua komuniti golongan pelarian dan mereka memberitahu kami tentang dilema yang dialami wanita pelarian di Malaysia. Bermula daripada detik itu, kami mendapat idea untuk mengasaskan program WFR dan kami telah memperoleh status Badan Bukan kerajaan pada 2020.

"Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan memperkasakan wanita pelarian agar mereka mampu membina pendapatan serta meningkatkan lagi keyakinan mereka untuk tampil memimpin komuniti mereka.

"Jadi kitaran itu berulang. Mereka bukan sahaja diajar dengan kemahiran komunikasi dan kemahiran hidup, mereka turut diajar untuk membimbing komuniti mereka. Saat paling indah adalah apabila melihat anak pelarian kagum dengan ibunya yang berketerampilan," katanya kepada Majoriti.

Davina (dua dari kanan) bersama guru-guru sukarelawan bagi komuniti pelarian di Malaysia.

Sebelum mengasas NGO bersama Arissa, Davina pernah terlibat secara aktif dalam beberapa NGO lain seperti UNHCR, Mercy Malaysia, Organisasi KAKAK, Yayasan Peduli ASEAN dan Eco Knights.

Menurut Davina, minatnya pada aktiviti sukarelawan dipupuk oleh ibunya, Vasantha Devi yang sering membawa dia dan abangnya ke rumah anak-anak yatim untuk melakukan kerja-kerja kebajikan.

"Ibu saya adalah ibu tunggal dan saya melihat sendiri pengorbanan yang dilakukannya. Demi memastikan keperluan kami mencukupi, ibu berjimat-cermat dengan tidak makan malam, berjalan kaki dari stesen bas ke rumah sewaktu pergi dan balik kerja serta sebagainya.

"Kami merupakan pelajar yang menerima bantuan kebajikan dan baju kami juga hasil derma. Lumrah membesar di kawasan Petaling Jaya, Kuala Lumpur, sesetengah pelajar sekolah saya berstatus anak datuk.

"Saya mengalami kesukaran untuk memahami realiti kehidupan mereka. Namun, selepas sentiasa melakukan aktiviti komuniti bersama ibu, saya sedar masalah saya bukan besar dan saya juga masih boleh menyumbang kepada masyarakat," jelasnya yang berhajat menukar aktiviti sampingan tersebut kepada karier pada satu hari nanti.

Tonggak di belakang keazaman Davina untuk terus melakukan aktiviti sukarelawan.

Tegas Davina, masyarakat tidak seharusnya merasakan kerja-kerja sukarelawan sebagai satu aktiviti murni yang perlu 'dipertandingkan' kerana setiap tindakan ke arah kebaikan memberi makna besar kepada penerima.

Berikut merupakan tiga nasihat bagi mereka yang mahu mengisi masa lapang dengan kerja-kerja sukarelawan:

1. Tiada satu cara tepat untuk lakukan aktiviti sukarelawan

Kebanyakan individu cenderung untuk berasa kecil apabila melihat golongan yang memiliki sumber kewangan dan sokongan melakukan pelbagai aktiviti sukarelawan, terutama menerusi muat naik media sosial.

Hakikatnya, kita semua memiliki keutamaan dan kapasiti berbeza. Bagi pencinta alam sekitar, boleh luangkan masa mengutip sampah di pantai. Bagi pencinta haiwan, habiskan masa di pusat pelindungan haiwan dan pelbagai lagi.

2. Fokus kepada keperluan penerima, bukan kehendak kita

Kadang-kala, kita akan cenderung untuk memberikan solusi kepada penerima bantuan berdasarkan perspektif kita sehingga menyebabkan golongan tersebut akhirnya tidak dibantu mengikut keperluan mereka.

3. Jadi realistik ketika membantu

Oleh kerana, sukarelawan terdiri daripada mereka yang memiliki kerjaya dan hanya mampu melakukan aktiviti ketika lapang, banyak program atau projek akan sama ada tertunda atau tidak berjalan seperti dirancangkan.

Justeru, kita perlu merendah diri untuk meminta bantuan sukarelawan lain. Aktiviti ini bukanlah aktiviti individu. Kalau kita hanya sempat melakukan aktiviti kesukarelawan pada hujung minggu atau apabila berkelapangan sahaja, tetap akan memberi impak kepada mereka yang menerima bantuan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram