Fizikal bersaiz XL bukan halangan sertai aktiviti hiking


  • Hobi
  • Jumaat, 28 Okt 2022

Izham menjadikan aktiviti hiking sebagai acara mingguan sekali gus memberi kepuasan buatnya untuk menghilangkan tekanan.

SETIAP orang tentu sahaja mempunyai keinginan dan matlamat dalam hidup. Tidak kira sama ada melibatkan kerjaya mahupun soal peribadi, tentu sahaja ada yang dijadikan sebagai sasaran.

Begitu juga dengan Izham Abdul Kadir, 39, yang sanggup mencabar diri melakukan sesuatu dianggap mustahil buat golongan memiliki fizikal bersaiz XL.

Setiap kritikan dan kata-kata negatif itu membuatkan dia berasa tercabar sekali gus berusaha untuk membuktikan kemampuan diri bahawa aktiviti denai kembara (hiking) boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

WhatsApp Image 2022-10-27 at 1.10.13 PM (2)

Pemandangan indah menjadi antara kepuasan buat pendaki.

“Pada 2017, rakan pejabat mengadakan pendakian ke Gunung Kinabalu, Sabah. Mereka mengatakan saya tidak mampu untuk melakukannya memandangkan fizikal sebegini (besar).

“Disebabkan rasa tercabar dengan kata-kata mereka, saya sahut cabaran dan menjadikan perkara itu bukan mustahil untuk dilakukan oleh individu seperti berbadan besar,” ceritanya kepada Majoriti.

Sejak itu, denai kembara sudah menjadi sebahagian daripada rutin mingguan pada setiap kali hujung minggu. Izham juga menjadikan perkara itu sebagai hobi untuk mengisi masa lapang yang mampu memberi kepuasan dan menghilangkan tekanan.

WhatsApp Image 2022-10-27 at 1.10.13 PM (1)

Tidak hanya menikmati keindahan flora, hidupan fauna turut menjadi antara tarikan ketika melakukan aktiviti hiking.

Bagi membantunya untuk mendapatkan stamina ketika melakukan pendakian, Izham akan melakukan senaman seperti berjoging sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

“Setiap kali larian saya akan memastikan sekurang-kurangnya sekitar lima kilometer. Cara sebegini secara tidak langsung akan membantu pernafasan dan bertenaga,” terangnya.

Pemandangan memukau

Terus rancak bercerita, Izham tidak menafikan pemandangan indah dari kawasan atas bukit menjadi kepuasan setelah penat mendaki.

Tentu sahaja sepanjang tempoh pendakian, perasaan kecewa dan marah pasti akan ada. Begitu juga dengan persoalan mengapa memilih untuk melakukan ‘penderaan’ kepada diri sendiri.

“Saya juga berasa perkara sama ketika mendaki. Penat, letih, kecewa dan persoal mengapa memilh untuk melakukan pendakian sedangkan sudah tahu perkara itu memenatkan.

“Bagaimanapun setelah tiba sahaja di puncak, segala kepenatan itu hilang dan diubati dengan pemandangan indah. Jika tidak percaya, boleh cuba sendiri dan perasaan itu pasti ada,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan semangat, Izham turut kongsikan beberapa perkara yang perlu dimiliki oleh seorang pendaki atau individu ingin berjinak-jinak dengan aktiviti hiking.

majoriti2022 (4)

Gambar tapak kaki gajah yang dikongsikan Izham.

Latihan

Sebelum melakukan hiking, sebaiknya lakukan latihan fizikal lain seperti joging atau berjalan kaki cepat dapat membantu untuk membiasakan diri.

Lakukan aktiviti memanaskan badan bagi mengelakkan berlakunya kecederaan atau kekejangan otot. Situasi itu bukan sahaja akan menyebabkan tempoh pendakian menjadi lebih lama, tetapi menjejaskan emosi dan mental.

Rasa sakit akan mengakibatkan kita memilih untuk berpatah balik dan tidak meneruskan pendakian.

Pernafasan

Sebelum melakukan pendakian sebaiknya belajar teknik pernafasan dengan betul. Cara ini dapat membantu untuk mengurangkan rasa penat.

Kaedah yang boleh dilakukan ialah dengan menarik nafas melalui hidung sementara hembus menerusi mulut. Semasa sedang menarik nafas, perut haruslah kembang manakala ketika menghembus nafas perut mestilah kempis.

Ulang teknik yang sama sebanyak lima kali.

Jaga diri

Sebelum melakukan hiking, sebolehnya jangan mengambil makanan berat atau makan terlalu banyak. Perkara itu bimbang akan mengakibatkan muntah dan sesak nafas.

Sebahagian pendaki turut mengatakan jika minum terlalu banyak akan mengakibatkan perut berasa tidak selesa atau sebu.

Dalam pada itu, dapatkan tidur dan rehat yang cukup sebelum mendaki.

Mental kuat

Aktiviti mendaki selalunya berlaku di kawasan hutan dan disebabkan itu kekuatan mental perlu terutama melibatkan hal mistik.

Disebabkan itu kekuatan mental diperlukan dan sebaiknya jangan terlalu memikirkan tentang perkara itu.

Kewujudan makhluk ghaib itu memang ada, tetapi jangan terlalu memikirkannya kerana jika terlalu obses, perkara itu secara tidak langsung akan mewujudkan imaginasi bahawa makhluk itu wujud di mana-mana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram