KEMAMPUAN untuk menterjemah buah fikiran ke dalam seni kata lagu dan mengharmonikannya dengan alunan irama sehingga mampu menyentuh perasan pendengar merupakan satu anugerah berharga titipan Tuhan.
Menyedari dirinya memiliki anugerah sedemikian seawal di bangku sekolah, Wan Hayzeeq Iman mula menghabiskan masa mencipta melodi dan menyusun lagu dengan menggunakan gitar pertama dimilikinya.
Minat itu mendorong pemuda berusia 23 tahun berkenaan untuk membentuk band bersama rakan-rakannya bernama Skyscream sebelum beralih lebih serius dengan band bernama Zerophobia.
Kini bertugas di sebuah pusat pengajian swasta, Hayzeeq gembira dua lagu ciptaannya didendangkan menerusi radio Rakita dan menjuarai carta lagu tiga minggu berturut-turut.
Hayzeeq mula menulis lagu sejak di bangku sekolah.
Lebih membanggakan, lagu Dursila hasil kerjasama dengan seorang lagi penyanyi Indie, Leaism muncul sebagai 30 lagu terbaik daripada 700 lagu dipertandingkan apabila layak ke separuh akhir Anugerah Lagu Indie 2020.
"Saya mula belajar main gitar dengan gitar pertama saya waktu umur 12 tahun. Dalam usia 13 tahun macam tu, saya mula bentuk sebuah kumpulan band bersama rakan-rakan sekolah secara suka-suka.
"Mula dari situ, saya perasan saya mampu buat melodi sendiri dan susun lagu. Saya boleh susun chorus, intro dan outro. Waktu tingkatan empat dan lima, saya hasilnya banyak lagu untuk band saya bernama Skyscream.
"Namun, sehinggalah saya sertai Zerophobia, barulah saya berkeyakinan dengan bakat saya dan mahu pergi lebih jauh. Dari situ, terciptalah satu album Zerophobia yang mempunyai sembilan lagu.
"Saya terlibat dalam pembikinan sembilan lagu ini. Lima lagu adalah hasil saya 100 peratus manakala selebihnya hasil kolaborasi bersama rakan-rakan band dan juga penulis lirik luar," katanya kepada Majoriti.
Ahli kumpulan Zerophobia memiliki minat dan matlamat sama.
Album pertama Zerophobia, Sinner yang mengandungi sembilan lagu hasil karya Hayzeeq.
Bercerita lanjut, pemuda berasal dari Puchong, Selangor tersebut gemar memilih perkataan-perkataan puitis dan berkias agar pendengar boleh berfikir sejenak tentang mesej yang ingin disampaikannya.
Mengakui tabiat itu diwarisi daripada ayahnya, Zam Metalzonn, seorang bass kumpulan X-Ray yang terkenal pada tahun 1990-an, Hayzeeq mendedahkan idea untuk menulis sering datang pada bila-bila masa sahaja.
Jelasnya, dia sangat tidak gemar terburu-buru dalam menghasilkan sesuatu lagu kerana hasil karya sebegitu sering kali mengecewakan dan tidak menepati 'selera' seperti yang dia inginkan.
"Tidak dinafikan, ayah saya banyak mendedahkan saya kepada dunia muzik. Contohnya, sejak berusia empat tahun, saya sudah biasa ikut ayah saya masuk studio jamming dan belajar selok-belok muzik.
"Saya suka perhati ayah saya tulis lagu, main gitar dan menyanyi. Antara lagu yang saya tulis adalah lagu Dursila. Dari segi tajuk, saya tahu pasti ramai yang tak faham maksud Dursila.
Hayzeeq mewarisi bakat bapanya, Zam Metalzonn.
"Dursila bermaksud jahat dalam bahasa baku Indonesia. Saya suka benda-benda macam ini. Karya saya yang paling saya suka adalah lagu bertajuk Seru sebab saya luahkan semua pengetahuan saya dalam lagu itu," katanya menutup bicara.
Bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam proses penghasilan lagu, berikut merupakan beberapa tip daripada Hayzeeq berdasarkan pengalaman peribadinya melakukan hobi sebegini sejak di bangku sekolah.
1.Tiada satu cara spesifik dalam penghasilan lagu
Proses gubahan lagu ini bergantung kepada penggubah lagu itu sendiri. Secara personal, Hayzeeq gemar mencipta melodi terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan lirik. Menurutnya, cara itu membolehkannya memilih suku kata sesuai. Kalau buat lirik dulu baru melodi, sukar baginya untuk mengharmonikan kedua-duanya sekali.
2. Inspirasi akan datang tanpa diduga
Menurut Hayzeeq, idea untuk menulis selalunya tidak perlu dipaksa. Kadang-kadang ketika dia memandu, sebelum tidur dan sebagainya. Justeru, dia akan memastikan semuanya dicatit dalam memori agar idea tersebut tidak hilang dan dapat dibawa ke peringkat penghasilan lagu.
3. Tidak semua lagu perlu diterbitkan dengan segera
Seorang penggubah lagu, pasti akan ada lagu dalam simpanan sebab kadang-kadang lagu tersebut belum sesuai untuk diterbitkan. Kadang-kadang lagu itu untuk simpanan sendiri dan ada juga lagu yang dikhaskan untuk orang tertentu sahaja. Semuanya bergantung kepada kepuasan individu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram