BERFAHAMAN radikal, liar dan tidak berpendidikan adalah streotaip yang sering dikaitkan dengan golongan muzik underground atau muzik bukan mainstream yang seterusnya mewujudkan sifat prejudis masyarakat terhadap mereka.
Namun bagi seorang penggemar muzik underground genre hardcore yang mahu dikenali sebagai Joe, muzik berentak rancak, tarian agresif berserta kejujuran pada bait-bait lirik memberikannya ketenangan dan kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Pemuda dalam lingkungan 20-an itu sanggup merantau ke serata negeri untuk menghadiri gig-gig yang dianjurkan pemuzik-pemuzik underground tempatan dan kini merancang untuk pergi ke luar negara bagi melebarkan lagi pengalaman gignya.
Demi memastikan setiap minggu diisi dengan aktiviti bersama peminat gig lain, Joe akan mengisi kalendernya dengan acara-acara gig sebulan awal dan adakalanya, dia tidak teragak-agak untuk membuat keputusan saat akhir sekiranya terdapat kelapangan untuk ke gig.
Aksi stage diving yang membuatkan Joe digelar 'Panda Terbang'.
"Sebenarnya muzik underground ini meliputi sekelompok pemuzik yang membuat sendiri segala kerja penciptaan, rakaman, penerbitan dan pengedaran muzik mereka. Terdapat pelbagai genre muzik underground seperti indie, punk, hardcore dan pelbagai lagi.
"Saya layan semua muzik underground tapi saya paling suka genre hardcore kerana rentak dan tarian Mosh bagi muzik genre ini sesuai dengan jiwa saya. Berbeza dengan suasana di konsert genre lain, peminat hardcore akan sediakan ruang yang dipanggil Mosh Pit yang mana peminat-peminat boleh menari mengikut rentak.
"Setiap peminat genre sudah tahu rentak yang bersesuaian dengan tarian. Antaranya two step (gerakan kaki dan tangan ke depan dan belakang), Crowd kill (gerakan melibat tendangan berpusing ke hadapan) dan head banging (gerakan angguk kepala).
"Saya akui genre muzik ni memang ganas dan kadang-kadang sampai ada yang cedera, namun sesiapa sahaja yang masuk ke dalam scene ini, sudah tahu risiko. Jadi, tak pernah ada pergaduhan sekiranya sesiapa cedera," katanya kepada Majoriti.
Di gig harcore, tindakan peminat naik ke pentas, rampas microfon dari penyanyi dan menyanyi diterima.
Biarpun berbadan gempal, pekerja di sebuah syarikat swasta yang berlatar belakang bidang fesyen itu tidak segan untuk membuat stage dive (terjun dari atas pentas) sehingga dia terkenal dengan panggilan Panda Terbang dalam kalangan peminat gig.
Menurut sosok yang juga merupakan peminat tegar kumpulan hardcore tempatan, Lost Control, sifat kekitaan dalam kalangan peminat muzik underground sangat tinggi.
Jelasnya, kesemua mereka, daripada pemuzik sehingga peminat, berkumpul di gig demi minat terhadap genre itu, bukan pulangan material.
"Kami nampak ganas tapi hakikatnya kami semua baik sahaja. Sekarang ini Anugerah Juara Lagu banyak membuka mata ramai orang tentang muzik underground dan ramai juga penyanyi underground sudah menjadi mainstream.
"Cuma apabila mereka sudah jadi mainstream, mereka tidak lagi boleh menyanyi dengan bait-bait yang jujur atau berkelakuan terlebih agresif kerana ada tapisan yang perlu dilalui agar sesuai dengan pendengar dan penonton umum.
"Antaranya, kumpulan post-hardcore, Sekumpulan Orang Gila (SOG) membuat kolaberasi dengan penyanyi tersohor, Sheila Hamzah dengan lagu Pelukan Angkasa. Kami sebagai peminat gembira melihat mereka pergi jauh," katanya sambil tersenyum.
Ganas dan liar hanyalah pesona yang ditampil, hakikatnya peminat muzik 'undeground' sangat ramah.
Bagi mereka yang mahu cuba ke gig. Ini adalah beberapa tip dari Joe.
- Jangan malu untuk pergi ke gig dan mencuba benda baharu
Sebenarnya muzik undeground ini ada banyak genre dan tidak semesti sentiasa ganas. Mungkin pada permulaan boleh layan lagu-lagu rock alternatif seperti Hujan atau punk rock seperti Bunkface dan sebagainya. Sebenarnya setiap genre ada identiti tersendiri yang meliputi tarian, pakaian dan pembawakan peminat itu sendiri. Cuba dulu sebab sebenarnya sangat fun!
- Kawan gig semuanya ramah, jadi jangan biar stigma menghalang anda untuk berkawan
Brotherhood dekat dalam komuniti underground sangat kuat. Antara penyanyi dan peminat memang akrab sebab kami saling berkongsi minat yang sama. Mereka ini banyak ada karier tersendiri dan hanya buat persembahan sebagai hobi. Saya selalu sokong mereka dengan membeli album, barangan eksklusif dan menghadiri gig. Untuk pengetahuan, ada sebuah kumpulan bernama The Papas yang terdiri daripada sekumpulan doktor. Cuma mereka ni suka privasi sikit, jadi memang tak ada di media sosial.
- Sentiasa positif dan sokong industri muzik underground tanah air
Dulu, memang susah nak tahu jadual gig kerana mereka selalunya buat poster and tampal sendiri di kawasan persekitaran ala-ala filem Kami The Movie. Tapi sekarang, semua maklumat ada di media sosial dan masyarakat juga boleh cari dan mendengar dahulu muzik tersebut. Sesetengah lagu band boleh didengari menerusi Spotify, YouTube dan sebagainya. Namun, masih ada sesetengah yang mahu kekal eksklusif, yang mana kalian perlu hadir ke gig, beli album dulu barulah boleh dengar muzik mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram