Obses kumpul barangan jenama Coke, jurufoto Kedah kongsi 3 tips 'rare'


  • Hobi
  • Rabu, 19 Okt 2022

Muammar bersama koleksi coke miliknya.

MINATNYA terhadap koleksi barangan jenama Coca-Cola atau Coke bercambah apabila 'jatuh hati' dengan keunikan jenis reka bentuk jenama tersebut yang berubah mengikut edisi-edisi berbeza.

Tidak terhad kepada koleksi tin dan botol, Muammar Arifuddin turut mengumpul T. Shirt, gelas serta kotak jenama terbabit yang disusun rapi di dalam sebuah bilik khas di kediaman peribadinya yang terletak sekitar Padang Serai, Kedah.

Sehingga kini, pekerja khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta tersebut telah menghabiskan lebih kurang RM5,000 untuk keseluruhan koleksi jenama barangan tersebut yang didapatinya dari serata dunia.

Menurut Muammar, setiap reka bentuk jenama tersebut memiliki nilai nostalgianya tersendiri dan berharap koleksinya itu menjadi titik sejarah yang boleh dibandingkan dari semasa ke semasa.

"Permulaan mengumpul bermula tahun 2017-2018 macam tu. Sebenarnya, saya pun tidak sedar macam mana boleh minat Coke ini.

Sebanyak 900 hingga1000 tin dan anggaran 250 botol koleksi yang disusun rapi dalam 'man cave'

"Asalnya dulu kumpul Hotwheels, lepas itu macam perasan tin coke ni kalau kumpul macam best sebab reka bentuk dia berubah dan ada banyak edisi.

"Mula-mula kumpul, saya masukkan juga jenama lain seperti Pepsi dan 100plus. Lepas itu, saya sertai komuniti dan masa ini saya sudah mula kumpul koleksi tin-tin masa lama.

"Niat asal nak kumpul tin Coke ni, nak buat kenangan bila dah berusia nanti. Boleh terkenang tin sekarang ini macam mana reka bentuknya dan boleh dibandingkan dengan tin pada masa akan datang.

"Bilik simpanan barang itu dah kira macam 'man cave' buat saya. Situlah saya simpan barang, di situ juga saya buat kerja-kerja editing." katanya kepada Majoriti.

Sering berkongsi pengalaman mengumpul barangan menerusi akaun TikTok @muaremmar, pemuda berusia 28 tahun ini tidak lokek berkongsi ilmu dan menjawab persoalan pengikutnya.

Tambah Muammar, interaksi di laman tersebut membuka ruang kepadanya untuk bertemu lebih ramai orang sehingga ada di antara mereka berminat melakukan urusan jual beli koleksi-koleksi unik bersamanya.

Koleksi cawan dari pelbagai jenama dikumpul Muammar.

Mcdonald selalu muncul pelbagai jenis edisi, happy meal dan cawan kertas sekali gus menambat hati Muammar.

"Ramai berminat untuk jual koleksi kepada saya, ada juga sebahagian mahu membeli daripada saya. Pengumpul barangan ini pun ada pelbagai kategori. Kalau yang nak 'cuci tangan' tu, mereka akan jual murah.

"Tapi buat masa ini, saya masih belum bersedia untuk jual. Saya pernah pergi Hatyai, Thailand dan ambil tempahan daripada rakan pengumpul lain. Dari segi pengumpulan, saya tak pernah lagi jumpa katalog, tapi poster untuk rujukan edisi tin tu ada," jelasnya.

Mengulas lanjut, Muammar bersyukur isteri kesayangannya, Siti Suhaily bukan sahaja menyokong 'obsesi' uniknya itu, malah turut sama membantunya dalam memastikan setiap koleksi diingini dapat dibawa pulang.

"Masa bujang dulu, saya ada asingkan gaji untuk hobi ini, tapi selepas kahwin, dah 'slow' sikit membeli. Tapi, Alhamdulilah, rezeki saya, isteri saya menyokong minat saya ini.

"Isteri pun banyak bagi sokongan. Kadang-kadang dia tanya, dah ada belum. Kalau tak ada, dialah yang belikan,"katanya.

Berikut merupakan tips daripada Muammar bagi mereka berminat untuk ceburi hobi pengumpulan jenama coke ini.

Minat Muammar disahut baik isteri tersayang

1. Seeloknya buang air dalam tin

Sekiranya seseorang berhasrat untuk membuat satu koleksi baharu, Muammar menasihati mereka untuk mengosongkan tin minuman tersebut dengan menebuk lubang kecil di bahagian atas tin.

Perkara itu bukan sahaja dapat mengelak kandungan bertukar rosak, malah ia juga dapat mengelak risiko tin mengembung dan meletup dengan gas minuman tersebut.

Meskipun segelintir berasakan perkara itu akan menjejaskan kualiti dan rupa tin, pengumpul perlu bijak dalam memastikan koleksi dapat disimpan dengan lebih lama, sekali gus menaikkan lagi nilai di mata seseorang.

2. Sertai komuniti

Tidak boleh dinafikan, semangat dan minat seseorang pengumpul boleh luntur apabila berasakan tiada sesiapa mempunyai kecenderungan yang sama seperti mereka.

Perbincangan dan pertukaran idea mengenai hobi membolehkan penggemar aktiviti masa lapang itu untuk melihat sesuatu perkara dengan dimensi berbeza.

Bagi pengumpul tin, perkara itu juga boleh dilakukan apabila pengumpul tin boleh berkongsi pengalaman dan cara-cara penjagaan barangan tersebut.

Bagi Muammar pula, dalam sesebuah komuniti, terdapat kemungkinan seseorang itu mampu berjumpa penjual yang mempunyai beberapa barangan yang sukar untuk ditemui.

3. Jual beli

Seperti dibincangkan di atas, penglibatan seseorang dalam komuniti hobi membolehkan mereka untuk mendapatkan barangan yang sukar untuk ditemui di pasaran.

Muammar juga berpendapat pendekatan itu dapat meningkatkan lagi minat seseorang dalam hobi masing-masing apabila mereka mula menyedari akan harga dan nilai sesuatu barangan itu.

Selain itu, aktiviti jual beli itu juga membolehkan peminat untuk memahami skop dan pasaran sesebuah barangan, sekali gus menyemai minat secara lebih mendalam ke atas tin minuman, terutama Coca-Cola. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram