KONVOI merupakan aktiviti mingguan yang menjadi pilihan untuk mengisi masa lapang bagi segelintir peminat pemotoran.
Uniknya buat pemilik nama Mohd Shahrul Mohd Darus, minatnya terhadap aktiviti konvoi bukan sahaja terhad sebagai peserta, malah dia mahu lakukan lebih lagi dengan terlibat sebagai penganjur.
Bekerja sebagai Pembantu Operasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020, Shahrul tidak berdepan masalah untuk membahagikan masa antara pekerjaan dan hobi.
Jelasnya, aktiviti penganjuran yang dilakukan bermula dengan minatnya terhadap proses sesuatu aktiviti berjalan seperti merancang, kolaborasi, mencari dana serta menyusun jadual perjalanan program.
Justeru, dia meletak komitmen yang tinggi dalam menganjurkan program hampir setiap minggu biarpun perlu kembali melakukan tugas hakikinya di sekolah pada setiap hari Isnin.
Ahli konvoi cabaran 1600km bersama Modenas Dominar 400.
Disebabkan itu, dia mudah menjalinkan kerjasama dengan pihak Modenas yang sehingga kini banyak menaja motosikal untuk aktiviti-aktiviti konvoi atau solo yang dianjurkannya.
Sewaktu aktiviti konvoi, Shahrul gemar mengambil posisi sebagai sweeper iaitu orang paling belakang yang bertanggungjawab bagi memastikan tiada peserta tertinggal atau hilang dari kumpulan.
"Ada banyak pengalaman menarik sepanjang menjadi sweeper. Pernah sekali saya dan polis peronda kejar bas dari hentian Banjaran Titiwangsa ke Jeli sewaktu konvoi pengakap ke Terengganu.
"Pengalaman itu mencabar kerana saya perlu jaga 14 bas dengan laluan Kuala Kangsar ke Kuala Terengganu. Tapi kenangan itu sukar dibeli. Saya juga pernah anjurkan kembara Merdeka yang melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
"Setiap kali ada program, saya suka terlibat dalam pengurusan. Mungkin sebab saya bekerja sebagai pembantu operasi sekolah, jadi saya dah biasa dengan semua itu," katanya kepada Majoriti.
Setelah puas dengan aktiviti konvoi, Shahrul, 42, mencuba nasib dengan menganjurkan aktiviti 'ride' solo yang menurutnya lebih mudah untuk mendapatkan penajaan kerana jumlah tajaan sedikit.
Motor Modenas Pulsar tajaan Modenas.
Setakat ini, Shahrul telah melakukan dua aktiviti penunggangan solo iaitu aktiviti penunggangan sejauh 1600km dalam masa 24 jam dan 2500km dalam masa 36 jam sehingga digelar Iron Butt Malaya.
Kini, Shahrul sedang merancang aktiviti solo ketiga iaitu penunggangan sejauh 5000km dalam masa 72 jam yang akan dilakukan pada Hari Keputeraan Sultan Perak nanti sekiranya mendapat tajaan.
"Menaiki motor tanpa berhenti secara solo sememangnya mencabar. Saya pernah terbabas sekali semasa buat pengembaraan solo sejauh 2500km dan terpaksa berehat selama sebulan.
"Alhamdulilah. Cubaan kedua (bagi 2500km) saya membuahkan hasil. Pada saya, inilah asam garam kalau kita terima cabaran sebegini. Disebabkan saya sudah ada komitmen dengan penaja, saya perlu habiskan juga misi tersebut," tambah anak kelahiran Tanjung Malim, Perak menutup bicara.
Buat mereka yang berminat untuk menjadikan aktiviti menganjur sebagai hobi, ini adalah beberapa nasihat Shahrul.
Aktiviti konvoi 24 jam mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records.
1. Minat
Menurut Shahrul, minat adalah elemen paling penting dalam aktiviti penganjuran kerana tanpa minat, sesorang itu pasti lakukan sesuatu tugas dengan acuh tidak acuh. Jika lakukan demi duit semata-mata, pasti akan gagal.
2. Komitmen
Untuk lakukan aktiviti penganjuran, sesorang perlu komitmen yang tinggi kerana kita telah membuat perjanjian kerjasama dengan pelbagai pihak. Sekiranya kita gagal lakukan perkara tersebut, kita akan menganayai orang lain.
3. Kekuatan mental
Menjadi penganjur ini perlu kekuatan mental yang tinggi. Saya sering mendapat kritikan daripada netizen dengan mempertikaikan kejayaan penganjuran saya. Kalau mental tak kuat, susah nak teruskan misi kita itu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram