AKTIVITI berbasikal bukan satu hobi baharu yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Bermula daripada usia kanak-kanak sehingga ke peringkat warga emas, aktiviti tersebut tetap menjadi pilihan untuk mengisi masa lapang.
Itulah yang dilakukan pasangan suami isteri Nur Zayanah Rasalai dan Azizul Hakim Muda. Kedua-duanya saling menyokong antara satu sama lain bagi melengkapi minat mereka.
Menurut Nur Zayanah, dia mula jatuh cinta dengan sukan berbasikal sekitar setahun lalu di mana minatnya mula timbul apabila dia ingin mencuba sesuatu yang baharu selain joging.
Katanya, melakukan aktiviti sebegini bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan tetapi turut mampu merehatkan minda setelah seharian penat bekerja termasuk mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
“Sejujurnya setahun lalu saya memang tidak tahu apa pun tentang basikal. Namun, disebabkan minat saya cuba untuk mendapatkan info di media sosial sehinggalah saya menyertai ‘keluarga’ Melaka Foldies.
“Kemudian saya bertanya kepada salah seorang ahli persatuan itu di Facebook dan dia memberikan maklumat tentang pemilihan basikal yang betul dan perkara asas sebelum menceburi bidang ini,” katanya kepada Majoriti.
Nur Zayanah sanggup berbelanja sehingga RM5,000 untuk membeli basikal idaman.
Ditemui kepada acara Himpunan Mega Basikal LIpat Kebangsaan 2022 di Lanai Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nur Zayanah memberitahu dia menitikberatkan soal keselamatan sebelum memulakan kayuhan.
Katanya, perkara utama yang perlu diperiksa ialah keadaan tayar dan brek bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini mahupun terlibat dalam sebarang kemalangan.
“Perkara ini melibatkan nyawa bukan kita sahaja tetapi turut terkait dengan individu lain. Jadi sebelum membuat kayuhan saya akan periksa dahulu keadaan basikal. Tidak kira sama ada jarak dekat atau jauh, pada saya keselamatan itu penting.
“Bukan sahaja tayar dan brek, pemakaian baju pantulan cahaya, lampu basikal dan topi keledar juga antara yang perlu diambil kira. Meskipun kayuhan di buat pada waktu siang tetapi perkara itu tetap juga perlu diambil kita dan jangan mengamalkan sikap sambil lewa.
“Individu berbasikal juga perlu peka dengan persekitaran selain jaga jarak antara kenderaan lain kerana bimbang kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh itu berhati-hati dan fokus serta jangan terlalu leka ketika berbasikal,” terang Nur Zayanah mengenai rutin sebelum memulakan kayuhan.
Ukur baju di badan sendiri
Dalam pada itu, pasangannya, Azizul Hakim yang dahulunya tidak meminati sukan itu sudah mula berjinak-jinak dan menyokong minat isterinya. Berkhidmat sebagai guru, Azizul Hakim mengakui dia memberikan sokongan penuh kepada isterinya.
Biarpun segelintir pihak menyifatkan aktiviti tersebut tergolong dalam kategori sukan mahal, dia bagaimanapun mengambil pendekatan ukur baju di badan sendiri sekali gus memberitahu tidak perlu terlalu ghairah berbelanja semata-mata ingin mengikut trend atau bergaya.
Ratusan peserta menyertai Himpunan Mega Basikal LIpat Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Lanai Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Pada saya terpulang kepada individu sama ada inginkan basikal yang mahal sehingga mencecah harga puluhan ribu ringgit atau sebaliknya. Ini kerana paling utama ialah keselamatan kita sewaktu di jalan raya termasuk pengguna lain.
“Saya tidak melihat ini sebagai satu sukan mahal atau sebaliknya kerana fungsinya juga sama seperti membeli motosikal atau kereta. Sekiranya sudah tidak mahu lagi menggunakan basikal tersebut kita boleh menjualkannya. Kadang kala boleh jadi basikal itu harganya lebih tinggi daripada nilai yang dibeli.
“Dahulunya bermula dengan basikal berharga RM3,000 kemudian beralih kepada RM5,000 dan mungkin ini yang termampu untuk saya. Insya-Allah jika berkemampuan saya akan menggunakan basikal dengan nilai yang lebih tinggi. Namun ringkasnya jika sudah mempunyai minat, tidak salah jika kita berbelanja lebih sekiranya itu dapat memberi kepuasan dan penghargaan kepada diri sendiri,” jelasnya.
Melanjutkan cerita, Azizul Hakim memaklumkan dia dan isteri sering meluangkan masa sekitar satu hingga dua jam sekitar tiga kali seminggu untuk berbasikal. Selepas selesai waktu kerja sekitar pukul 5 petang sehingga 6.30 petang dia sekeluarga akan meluangkan masa beriadah.
“Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan antara keluarga termasuk boleh memperluaskan kitaran kenalan kerana individu yang terlibat dalam sukan ini mempunyai latar belakang berbeza. Saya memilih untuk berbasikal pada hari biasa antara Isnin hingga Jumaat. Pada hari minggu kami akan berlibur atau bercuti, jadi rutin itu agak seimbang,” katanya.
Bercerita lagi mengenai minatnya itu, Azizul Hakim turut teruja apabila anaknya yang berusia empat tahun turut menyukai sukan tersebut dan akan memberi sokongan penuh sekiranya anaknya juga mempunyai hobi sama seperti mereka.
“Setiap kali berbasikal kami akan membawanya dengan tempat duduk kanak-kanak. Dia sangat teruja dan tidak mempunyai banyak kerenah atau mengeluh untuk pulang ke rumah,” ujarnya.
Sementara itu, ahli Melaka Foldies, Meor Mohd Izad Enir kongsikan lima perkara yang perlu diambil kira sebelum mula menceburi sukan terbabit.
Kumpulan yang dikenali sebagai Melaka Foldies menjadi antara peserta yang terlibat dalam acara Himpunan Mega Basikal LIpat Kebangsaan 2022.
- Minat. Kesungguhan untuk mendapatkan maklumat dan terlibat dengan kayuhan.
- Masa. Tetapkan masa atau cuba pilih waktu yang sesuai untuk berbasikal sama ada pada sebelah pagi atau petang termasuk pilihan hari minggu atau hari bekerja.
- Restu. Tidak mengira sama ada pasangan suami isteri mahupun ibu bapa dan anak, restu atau kebenaran agar tidak lalai atau lari daripada tanggungjawab kerana terlalu taksub dengan hobi.
- Semangat. Segelintir mungkin melihat ini sebagai trend semata-mata. Jadi semangat penting agar aktiviti ini dapat diteruskan.
- Modal. Tentu sahaja basikal dan peralatan keselamatan wajib ada. Namun kos basikal boleh dibuat berdasarkan kemampuan dan perancangan perbelanjaan kewangan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram