BERGELAR atlet kebangsaan dan pelajar universiti dalam satu masa sama mampu memberikan tekanan besar kepada seseorang sekiranya mereka tidak pandai mencari ruang untuk melepaskan lelah daripada dua tanggungjawab tersebut.
Bagi penerjun negara, Chew Yi Wei, memelihara haiwan akuatik di dalam akuarium miliknya serta menjaga pokok mangga kesayangannya memberikan ketenangan setelah mengharungi rutin padat dari pagi sehingga malam.
Menurut atlet berusia 26 tahun itu, peningkatan usia menjadi antara faktor dirinya tidak lagi gemar keluar ketika waktu senggang, tetapi lebih memilih untuk melakukan aktiviti di dalam rumah.
Jelas pelajar jurusan sains komputer di Universiti Asian Pacific di Bukit Jalil, Kuala lumpur tersebut, memiliki haiwan akuatik dan pokok mangga mempunyai perkaitan dengan impian zaman kanak-kanaknya.
Sebagai penerjun negara, 'akuatik' sudah sebati dengan jiwa Yi Wei.
"Waktu kecil, saya sangat suka ikan. Saya selalu masuk ke dalam kedai ikan dan tengok ikan-ikan. Tapi pada masa itu, harganya sangat mahal bagi saya.
"Jadi sekarang, apabila saya dah mampu jana duit sendiri, saya buat keputusan untuk laburkan pada ikan-ikan. Dapat tunaikan impian zaman kanak-kanak buat saya sangat gembira.
"Pokok mangga ini pula mengingatkan saya pada pokok mangga di rumah keluarga saya di Pekan Meru, Klang, Selangor. Pokok itu berusia 30 tahun. Dulu saya makan banyak buah mangga, hampir setiap hari," kata pemegang dua pingat gangsa Sukan Asia itu pada Majoriti.
Yi Wei merancang untuk menambah lagi koleksinya dari semasa ke semasa.
Yi Wei menambah, demi memastikan hobi membela ikan hiasan tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam, dia menyertai komuniti penggemar haiwan akuatik yang dikenali menerusi kenalannya.
Dari situ, pemegang empat pingat emas Sukan SEA itu mempelajari dengan lebih mendalam mengenai proses penjagaan haiwan peliharaannya dan merancang untuk menambah lagi koleksi dari semasa ke semasa.
"Saya baru mula hobi ini tiga minggu lalu. Memang dah jadi impian saya untuk memiliki sebuah akuarium. Jadi, bila saya jumpa orang jual akuarium berukuran 70 sentimeter, saya terus membelinya.
Setakat ini, 10 ekor udang telah menjadi penghuni akuarium ini.
"Saya terus beli bersama-sama dengan ikan Guppy. Sekarang ini, akuarium ini dihuni sembilan ekor ikan iaitu lima Tetra, dua Guppy, dua ikan Bandaraya dan 10 ekor udang.
"Saya tengah tunggu lumut saya tumbuh supaya ikan saya ada tempat untuk menyorok. Buat masa ini, penjagaan ikan ini tak susah dan saya sangat 'enjoy' menguruskannya," jelasnya yang memberi nama kepada setiap ikan-ikannya itu.
Mengulas mengenai perancangan masa depan untuk kedua-dua pokok mangganya yang semakin besar, Yi Wei yang tinggal di sebuah pangsapuri akui enggan memikir sejauh itu dulu.
"Bila pokok mangga ini dah semakin membesar nanti, saya perlu pindahkan ke tanah. Tapi saya tak buat perancangan sejauh itu lagi," jelasnya lagi.
Dua pokok mangga ini mengingatkan Yi Wei terhadap pokok mangga di kampung halamannya.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadikan penjagaan haiwan dan pokok sebagai hobi, Yi Wei kongsi tips di bawah.
- Jangan malu bertanya
'Malu bertanya sesat jalan'. Pada Yi Wei, tidak wujud istilah 'soalan bodoh' kerana setiap orang pasti ada tempoh yang mana mereka mempelajari sesuatu baharu. Oleh itu, tak perlu takut untuk bertanya.
- Berani mencuba
Tak kisah betapa besar persiapan kita, tetap akan ada potensi untuk gagal. Jadi, jangan takut pada kegagalan. Teruskan mencuba. Pengalaman-pengalaman ini akan jadikan kita lebih berpengetahuan.
- Ambil satu langkah dalam satu masa
Dah nama hobi, tak perlu jadikannya sebagai sesuatu yang akan mendatangkan stres. Semuanya akan jadi lebih mudah bila kita tidak stress. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram