Daripada sebatang kayu menjadi sebuah rumah idaman


Selain bergelar guru, Mohd Nadzmie Che Mohd Ashari juga menggunakan bakatnya untuk menghasilkan barangan berasaskan kayu. — Facebook/Tembusu Woodworks

BAKAT yang terpendam merupakan satu anugerah yang perlu dimanfaatkan apabila perkara itu pasti sukar untuk ditiru mahupun dicontohi oleh orang lain.

Lebih-lebih lagi, apabila bakat yang dimiliki itu mampu menghasilkan sesuatu yang tersendiri menggunakan imaginasi dan barang harian sehingga menyebabkan orang ramai terpukau akan hasil titik peluh seseorang.

Bagi seorang guru Bahasa Inggeris, Mohd Nazmie Che Mohd Ashari, bakatnya terserlah apabila dia mempunyai bakat tersendiri untuk menggunakan tunggul kayu ataupun papan terbuang yang dijumpai di sekitar kampung halamannya di Bachok, Kelantan.

Guru berusia 36 tahun itu bukan sahaja mampu mengukir sesuatu hasil tangan halus malah dia mampu menggunakan bakatnya untuk menghasilkan meja, papan pemotong malah permainan berasaskan kayu yang dikutip itu.

300377307_3330172827202767_1671464845257995388_n

Tukang kayu itu hanya menggunakan bahan buangan yang mudah dikutip. — Facebook/Tembusu Woodworks

"Kadang kala, saya mendapatkan kayu itu secara percuma tetapi ada juga yang meminta saya untuk membayarnya. Tetapi, saya lihat duit itu akan digunakan mereka untuk membersihkan kawasan," katanya.

Malah, setelah bertahun-tahun bergiat dalam bidang tersebut, dia telah mengutip terlalu banyak kayu berkualiti sehingga membolehkannya untuk membina sebuah rumah dengan menggunakan pelbagai jenis kayu seperti cengal dan damar hitam.

Menggunakan kepakarannya, dia berjaya mendirikan sebuah rumah dua tingkat yang mula dibina ketika pandemik Covid-19 dan diharapkan untuk siap sepenuhnya musim depan.

"Saya sudah lama bercita-cita untuk membina rumah sendiri kerana saya gemar dengan binaan berkonsepkan Melayu lama. Saya juga membangunkan rumah baharu ini kira-kira 20km (kilometer) dari rumah ibu mertua saya," katanya.

Tambahnya, dia juga gemar meneruskan hobinya ini apabila dia mahu mengurangkan masalah lambakan sampah di pusat pembuangan sampah apabila dia hanya menggunakan papan dan kayu yang tidak lagi digunakan.

"Saya risau dengan isu pembalakan dan pembakaran terbuka yang dilakukan demi menjalankan pembangunan kerana ia akan menyebabkan pelbagai isu alam sekitar seperti perubahan iklim dan lain-lain.

"Selalunya, apabila saya ternampak sebuah pokok yang tumbang di jalan, saya akan terus bertemu pemiliknya untuk bertanya sekiranya saya boleh mendapatkan kayu itu," katanya.

Selain itu, beliau yang mengajar di Sekolah Menengah Long Yunus, Bachok mengatakan bahawa hanya menambah baik kemahirannya untuk mengukir kayu dengan menonton video di media sosial seperti YouTube dan Instagram.

"Saya suka untuk menonton video pertukangan di Internet dan saya berasakan ia satu perkara yang menakjubkan untuk menghasilkan pelbagai barangan, termasuk meja dan alat perhiasan.

"Saya memang mempunyai kemahiran itu, tetapi kebolehan itu ditambah baik dengan menonton video sehingga membolehkan saya untuk mencipta sesuatu barang yang lebih besar," katanya lagi.

136452566_2891281564425231_6541462751411053910_n

Mohd Nadzmie menggunakan peralatannya sendiri untuk menghasilkan ukiran dan kraf tangan tersendiri. Facebook/Tembusu Woodworks

Guru itu juga sempat berkongsi bahawa hobinya itu telah dijadikan punca rezeki sampingan apabila hasil kraf tangannya akan dijual dengan harga yang berpatutan sejak 2016.

"Tembusu adalah jenis kayu pertama yang saya gunakan untuk memulakan perniagaan saya sebelum ini kerana kualitinya yang tahan lasak. Jadi, disebabkan itu, saya telah menggunakan jenis kayu itu sebagai nama perniagaan saya," katanya.

Namun, apabila dia telah begitu lama dalam bidang perkayuan ini, dia sudah berjaya mengenal pasti jenis kayu yang sesuai berdasarkan projek dan hasil yang diingini.

"Saya akan memilih kayu berdasarkan ketahanan dan kesesuaiannya seperti jelutong, cengal dan tembusu sesuai untuk kerja-kerja mengukir.

"Kayu daripada pokok kapor, mersawa dan akasia pula adalah jenis kayu yang keras, jadi saya gunakannya untuk barang yang lebih keras seperti meja dan kayu.

Jelas Nazmie, dia juga menghadapi kesukaran untuk mengatur masa bergiat dalam kerja tetap dan kerja sampingannya meskipun telah meletakkan kerjayanya sebagai guru sebagai keutamaan.

"Saya menggemari kerjaya sebagai seorang guru kerana saya sendiri suka untuk mengajar kanak-kanak. Tetapi, kadang-kadang, saya terpaksa menghadiri perjumpaan sehingga menyebabkan saya terpaksa pulang lewat.

"Bagi kerja-kerja perkayuan ini, saya akan memulakannya sama ada pada waktu petang ataupun hujung minggu dan saya tidak akan menggunakan waktu malam kerana saya mahu meluangkan masa bersama keluarga," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram