Usia cecah 62 tahun, lelaki ini dah 22 tahun tak mandi


  • Benua
  • Khamis, 04 Ogos 2022

Dharamdev menyedari masalah pertikaian tanah, pembunuhan haiwan dan kekejaman terhadap wanita semakin meningkat pada 1987.

SEORANG warga emas dari Bihar, India menarik perhatian ramai selepas didedahkan tidak mandi sejak 22 tahun lalu.

Walaupun Dharamdev Ram, 62, tidak mandi sejak lebih dua dekad lalu, penduduk kampung sangat menghormati pendiriannya itu.

Dia juga sangat terkenal dalam kalangan penduduk kampung halamannya di Baikunthpur.

Dharamdev berikrar untuk tidak mandi sejak tahun 2000 sebagai tanda simbolik menentang isu keganasan terhadap wanita, pertikaian tanah dalam kalangan lelaki dan pembunuhan haiwan yang tidak bersalah.

Menurutnya lagi, dia terus berpegang pada janjinya sehingga masalah-masalah tersebut dapat diselesaikan.

Dharamdev berkata, dia mempunyai kehidupan yang normal dan berkahwin pada 1978.

"Saya juga bekerja di sebuah kilang di Jagdal, Bengal pada 1975.

“Namun begitu, pada 1987, saya tiba-tiba menyedari masalah pertikaian tanah, pembunuhan haiwan dan kekejaman terhadap wanita semakin meningkat.

"Jadi, untuk mencari jawapan, saya mendekati seorang 'Guru' yang mengambil saya sebagai muridnya dan memberi inspirasi kepada saya untuk mengikuti jalan pengabdian.

"Sejak itu, saya menuju ke jalan pengabdian dan mula bermeditasi,”katanya.

Sepanjang tempoh itu, Dharamdev juga berhenti kerja di kilang sebelum kembali bekerja di tempat lain akibat tekanan daripada keluarganya sendiri.

Isteri Dharamdev meninggal dunia pada tahun 2003 diikuti dengan anak lelakinya selepas beberapa tahun.

Namun Dharamdev terus setia dengan ikrarnya itu.

Nasib bertambah malang apabila seorang lagi anak lelakinya meninggal dunia pada tahun ini.

Walaupun tidak mandi selama sedekad lebih, Dharamdev nampaknya berada dalam keadaan sihat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram