Impian besar arkitek wanita perjuang kemanusiaan dalam seni bina


Dayana menjadikan arkitek Jepun, Shigeru Ban sebagai idola.

TIDAK ramai golongan muda pada masa kini yang berpeluang memiliki rumah di kawasan bandar kerana harga pasarannya yang terlalu tinggi.

Dayana Aripin, 29, tidak terkecuali daripada menerima nasib sama. Bertitik tolak dari situ, arkitek muda tersebut memperoleh idea untuk membuat reka bentuk projek perumahan mikro di George Town, Pulau Pinang.

Pembikinan projek yang mengambil masa antara enam hingga sembilan itu membuahkan kejayaan kepada Dayana apabila ia memenangi Anugerah Emas dan Anugerah Warna Terbaik kategori seni bina dalam Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2021.

Graduan seni bina Universiti Sains Malaysia (USM) itu menewaskan 13 peserta lain termasuk dari India, China dan Jepun yang melayakkannya mengikuti program Eksplorasi Seni Bina di Universiti Harvard, Amerika Syarikat dengan kos ditanggung sepenuhnya.

Kemanisan kejayaan yang dikecapi Dayana tidak datang bergolek sebaliknya wanita itu mengakui terpaksa menempuh pelbagai cabaran termasuk perlu beberapa kali membuat semula reka bentuk kerana rekaan awal yang dihasilkan kurang menarik.

"Memandangkan saya menghasilkan reka bentuk rumah mikro berkonsep warisan di bandar raya bersejarah George Town yang juga bandar raya tertua di Malaysia, jadi kebanyakan rekaan awal dirasakan tiada 'jiwa' di dalamnya.

"Saya juga perlu menyakinkan diri dan pensyarah bahawa projek ini berimpak tinggi kerana tidak ramai yang mempercayai kata-kata saya memandangkan konsep rumah mikro agak baharu ketika itu," katanya kepada Majoriti.

Untuk itu, Dayana berkata, dia cuba menggabungkan elemen penempatan dengan komersial bagi mewujudkan 'jiwa' dalam reka bentuk projek berkenaan.

Dia juga berharap projek sedemikian dapat membuka mata dan memberi kesedaran kepada pihak berkaitan bahawa projek pembangunan perumahan perlu mengikut kehendak generasi dan bukan pasaran hartanah semata-mata.

"Saya ambil contoh ketika pandemik Covid-19 baru-baru ini, pasti ramai yang 'terperangkap' dalam rumah sendiri lebih-lebih lagi kediaman itu tiada balkoni dan tingkap untuk ruang pengudaraan mencukupi.

"Hal ini dirasakan saya sendiri dan pengalaman itu cukup pahit. Jadi saya dapat inspirasi untuk reka bentuk rumah mikro ini dengan bukaan tingkap yang luas agar penghuni tidak berasa terpenjara dalam rumah sendiri," tuturnya.

KLLA0389

Dayana yang menjadikan Shigeru Ban, iaitu seorang arkitek kemanusiaan dari Jepun sebagai idola kini sedang mengusahakan projek prototaip sekolah mudah alih pertama di Malaysia melalui syarikat Mikro Studio yang diasaskannya.

Menurutnya, kira-kira 300 buah sekolah mudah alih akan dibina dan diedarkan ke Sabah dan Sarawak tahun ini.

"Ketika pandemik Covid-19, banyak murid-murid di pedalaman Sabah dan Sarawak yang berdepan masalah pembelajaran kerana tidak memperoleh akses internet.

"Jadi Mikro Studio mahu membantu murid-murid ini daripada aspek pendidikan melalui kemudahan teknologi," ujarnya yang bercita-cita meletakkan studio itu sebagai entiti yang menitikberatkan rekaan berasaskan keperluan kemanusiaan.

Dia yang turut menjadikan Lilian Tay, iaitu Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia sebagai idola turut menasihatkan golongan wanita agar sentiasa cekal, tidak putus asa dan berusaha gigih untuk memperoleh kejayaan.

"Saya harap kemenangan ini dapat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana terutama di negara ini untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram