Kain pelikat jadi kanvas remaja lukis potret Bapa Kemerdekaan


Muhammad Hanif mengambil masa 10 hari untuk menyiapkan potret Allahyarham Tunku Abdul Rahman di atas kain pelikat. — Nipxz Arts

BAGI Muhammad Hanif Aris, dia mungkin tidak pernah bertemu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tetapi remaja itu tahu Allahyarham adalah Perdana Menteri pertama Malaysia dan peranannya dalam memerdekakan negara daripada pemerintahan British.

Sebagai satu bentuk penghormatan sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-65 pada 31 Ogos ini, Muhammad Hanif menyiapkan sebuah lukisan cat minyak Tunku Abdul Rahman di atas sehelai kain pelikat.

Bertemakan 'Bapa Kemerdekaan', Muhammad Hanif mengambil masa selama 10 hari untuk menyiapkan karya seni tersebut.

“Saya mendapat inspirasi untuk mencipta potret Tunku Abdul Rahman pada kain kerana baginda kerap memakai pakaian tradisional Melayu, iaitu baju melayu dengan kain pelikat dan songkok, semasa pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.

“Baginda bangga dengan identitinya sebagai orang Melayu,” kata pelajar yang berasal dari Kedah itu.

By painting their portraits on cloth, hopefully people will remember their contributions to our country, says Muhammad Hanif. Photo: Muhammad Hanif Aris.

Muhammad Hanif mengeluarkan belanja kira-kira RM250 untuk menyediakan bahan bagi menyiapkan potret unik ini. — Nipxz Arts

Muhammad Hanif, 19, kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan seni visual di Institut Pendidikan Guru (Kampus Sarawak) di Miri, Sarawak.

Projek 'Bapa Kemerdekaan' merupakan percubaan pertama Muhammad Hanif melukis potret di atas kain.

“Sebagai pelajar seni visual, saya didedahkan dengan pelbagai teknik dalam lukisan, fotografi dan aplikasi grafik komputer.

Oleh itu, saya berminat untuk meneroka bahan seni untuk mencapai hasil yang berbeza. Saya memilih kain pelikat kerana ia mewakili identiti saya sebagai orang Melayu Kedah, sama seperti Tunku,” kongsinya.

Muhammad Hanif yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labu Besar, Kulim berkata, dia memulakan karya itu dengan membuat lakaran seperti teknik melukis di atas kanvas.

Dia kemudian menyiapkan karya seni itu menggunakan cat minyak, varnis dan minyak linsid (biji pokok flaks).

“Bahagian yang paling sukar ialah mencampurkan warna dan menggunakan minyak linsid untuk mengadun warna pada tekstil.

"Tidak seperti kanvas, bahan kapas cenderung menyerap lebih banyak cat, jadi saya menggunakan tujuh tiub cat minyak untuk menyiapkan projek itu,” jelasnya yang memuat naik gambar lukisan itu di Facebook Nipxz Arts.

Gone but not forgotten: Muhammad Hanif's portrait of 1950s nationalist and Kaum Ibu UMNO leader Khadijah Sidek. Photo: Muhammad Hanif Aris

Potret Allahyarhamah Khadijah Sidek yang dilukis di atas kain sarung batik bunga dari Kelantan. — Nipxz Arts

Muhammad Hanif berkata, dia mengeluarkan belanja RM250 untuk menyediakan bahan bagi menyiapkan potret unik itu.

Selain potret Tunku Abdul Rahman, Muhammad Hanif juga menghasilkan karya potret nasionalis 1950-an dan pemimpin Kaum Ibu Umno, Allahyarhamah Khadijah Sidek yang dilukis di atas kain sarung batik bunga dari Kelantan.

Di samping itu, dia turut mengusahakan potret legenda layar perak Malaysia, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, yang dilukis di atas batik Indonesia.

“Ramai yang sudah melupakan ikon-ikon dari masa lalu. Dengan melukis potret mereka di atas kain, diharapkan orang ramai akan mengingati sumbangan mereka kepada negara kita,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Remaja yang merupakan anak penoreh getah itu memupuk minat dalam bidang seni sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Dia sudah menghasilkan hampir 50 lukisan terdiri daripada lakaran pensil dan arang yang kebanyakannya ditempah oleh rakan-rakan sebaya. Hasil jualan itu disimpan sebagai wang saku.

“Wang yang diperoleh ini digunakan untuk membantu ayah saya menyara kehidupan kami sekeluarga.

"Sekarang, saya menggunakan pendapatan tambahan ini untuk menampung kos sara hidup di kampus selain membeli bahan untuk projek seni saya,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram