KELEBIHAN produk ikan tuna sirip kuning daripada segi kandungan nutrien dan keenakannya mendorong sekumpulan usahawan dari Dr.Tuna Sdn Bhd (DrTuna) untuk meneroka industri tersebut.
Menggelarkan diri mereka sebagai tunaprenuer, kumpulan usahawan ini menceburkan diri dalam bidang agromakanan dengan menghasilkan produk makanan berasaskan ikan itu termasuk sate tuna sirip kuning.
Pengurus Operasi Dr.Tuna, Khartini Isa berkata, produk itu asalnya dikeluarkan Jabatan Perikanan tetapi ia tidak dikomersilkan secara meluas.
"Selain rasa dan keunikan produk ini, manfaat dan sumber yang baik dari perairan negara kita serta industri tuna adalah antara faktor yang membuatkan kami mula berfikir dan mendapat idea untuk menginovasikan produk sedia ada ini, menambah nilai serta mengkomersialkannya.
"Malah kami hasilkan beberapa produk lain dari sumber tuna sirip kuning ini untuk dijadikan produk selain sate.
"Terlalu banyak yang menarik tentang industri tuna yang belum diketahui ramai dan ia membuatkan kami teruja untuk meneroka lebih jauh dalam industri ini," katanya kepada Majoriti.
Sate tuna sirip kuning adalah produk ikonik keluaran Dr.Tuna. — Facebook
Khartini berkata, seperti kebanyakan perniagaan, mereka turut dilanda ujian getir ketika pandemik Covid-19 melanda negara yang menyaksikan pelbagai sektor terjejas.
"Terlalu banyak perancangan terbatal, diberhentikan dan terkesan dengan pandemik. Namun kami menggunakan waktu itu dengan membuat penyelidikan bagi menambah baik dan membangunkan beberapa produk tuna lain selain cuba membuat jualan secara online," katanya.
Tambah Khartini, mereka juga berdepan cabaran untuk mendidik masyarakat mengenai kebaikan tuna selain mengubah pemikiran skeptikal tentang hasil makanan laut itu.
"Ramai yang ada tanggapan salah apabila bercakap tentang tuna kerana menyangka ia kategori ikan tongkol sedangkan tuna bukanlah hanya ikan tongkol.
"Kategori tuna yang kami gunakan adalah dari jenis sirip kuning di mana ia adalah ikan yang kedua terbaik selepas tuna sirip biru (bluefin tuna).
"Pengendalian tuna juga perlu dilakukan oleh profesional kerana tidak semua boleh memproses ikan ini memandangkan seseorang perlu memiliki sijil khas untuk memotong tuna,” jelasnya.
Khartini (kiri) berkata, pihaknya giat mengikuti ekspo dan pameran untuk memberi lebih kesedaran terhadap produk tuna serta sumber mentah yang digunakan. — Facebook
Ditanya bagaimana mengatasi cabaran itu, Khartini berkata, mereka akan terus berusaha mendidik masyarakat mengenai kelebihan tuna melalui media sosial selain penglibatan dalam eskpo-eskpo besar seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA).
"Jatuh bangun dalam perniagaan itu biasa, jadi kami sentiasa menjadikan kisah susah payah usahawan berjaya seperti Datuk Dr. Ramly Mokni (Ramly Burger) contohnya sebagai inspirasi.
"Inspirasi kami juga tidak terletak pada satu atau dua individu tetapi ia juga tentang kisah-kisah jatuh bangun usahawan luar negara yang melalui pelbagai halangan untuk berjaya seperti Colonel Sanders (KFC) dan Patrick McDonald (McDonald)," ujarnya.
Menurut Khartini, dalam tempoh terdekat ini, pihaknya merancang untuk melengkapkan produk snek dipanggil tunabampuff untuk masuk ke pasaran makanan sejuk beku dan pasaran luar negara.
Snek tunabampuff iaitu paf roti berintikan tuna, keju mozarela dan sos krim putih dengan disaluti bijirin jagung. — Facebook
Untuk jangka masa panjang, pihaknya berhasrat untuk menjadikan produk jenama Dr.Tuna dapat menembusi pasaran Asia keseluruhannya selain mempunyai rangkaian kafe sendiri.
"Selain menikmati dan merasai keunikan rasa produk dan menu yang disediakan, kafe ini dapat mengetengahkan dan mendidik pengunjung tentang dunia tuna dan industri tuna di dalam negara kita.
"Kami juga merancang untuk memiliki smart vessel sendiri untuk penangkapan tuna. Pada masa sama, kami mahu menjadi tunaprenuer yang mampu membawa nama negara dalam industri tuna dunia," katanya.
Orang ramai boleh melayari laman web mydrtuna.com dan Facebook DrTuna untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai produk makanan berasaskan tuna sirip kuning. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram