Semangat saya macam Mat Kilau, tetap bertanding PRU — Azwan Ali


  • Hiburan
  • Sabtu, 02 Jul 2022

Azwan Ali mengakui dia mahu bertanding di kerusi Parlimen pula pada PRU akan datang.

PADA Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang lalu, pengacara sensasi, Azwan Ali, 56, yang bertanding sebagai calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, kalah dengan hanya mengutip 90 undi sahaja.

Namun, Azwan atau lebih dikenali dengan nama Diva AA itu tetap tidak mahu mengalah dan mengakui akan meneruskan perjuangannya untuk menentang abangnya sendiri, Datuk Seri Azmin Ali.

"Semangat saya tak pernah pudar. Macam semangat Mat Kilau. Itulah Diva AA. Walaupun sebelum ini hanya memperoleh 90 undi, mungkin lepas ini akan jadi 91 undi. Why not.

11kecahjs

Azwan Ali hanya memperoleh 90 undi ketika bertanding dalam PRU-14 pada 2018. — Bernama

"Ini bukan pasal jumlah undi, tetapi lebih kepada kelantangan saya untuk menjadi calon. Saya guna duit kederat sendiri dan saya tahu, saya ada penyokong," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, dia juga bertanding untuk menentang Azmin Ali dan menegaskan bahawa darah daging bukanlah penawar untuknya.

Jelasnya, walaupun Azmin merupakan abangnya, dia tetap akan menentang kerana mahukan pemimpin yang bermaruah.

"Ciri-ciri pemimpin yang bermaruah tiada dalam diri Azmin. Sebelum ini rakyat menyanjung dia tetapi kini tidak lagi. Saya pernah cop dia 'bodoh' sebelum ini dan harap rakyat dapat buka mata berkaitan kepimpinannya.

"Saya sebenarnya tak pernah menentang hal peribadi dia. Saya cuma serang kepimpinan dia. PRU sebelum ini dia tak datang ke pusat penamaan calon dan untuk PRU kali ini saya mahu bertentang dengan dia," katanya yang juga sudah bersedia untuk kalah.

WhatsApp-Image-2021-05-11-at-2.26.23-PM

Azwan Ali akan tetap menentang abangnya, Azmin Ali dalam PRU-15 akan datang.

Saya bukan sekaya yang disangka

Sesiapa yang mengikut akaun media sosial Azwan pasti selalu mendengar ayat 'duit berkepuk-kepuk' yang diucap selebriti itu dalam videonya.

Namun, Azwan mengakui yang ayat 'duit berkepuk-kepuk' itu hanyalah kiasan kerana dia tidaklah sekaya yang disangka.

"Memang banyak saya terima mesej daripada pengikut media sosial yang meminta bantuan. Rakyat semakin susah dan saya sangat tersentuh dengan perkara itu.

"Cuma saya bukanlah sekaya yang disangka. Saya belum sekaya mana-mana jutawan. Cuma Alhamdulillah rezeki itu sentiasa ada," katanya.

Disebabkan itu juga menurut Azwan, dia memilih untuk bertanding habis-habisan pada PRU akan datang dengan niat untuk membantu.

134951xhlkann4kzgfebfk

Azwan Ali memasak rendang sebagai cara untuk mendekati pengundi pada PRU-14 yang lalu. — Facebook

Ambil rendang tapi tak mahu undi

Mengintai semula detik ketika PRU-14 yang lalu, Azwan sempat bercerita saat dirinya seperti ditampar oleh seorang pengundi.

Menurutnya, ramai yang tahu pendekatan yang diambilnya untuk bertemu rakyat iaitu menerusi pemberian rendang yang dimasaknya sendiri.

"Ketika itu ramai yang beratur. Ada seorang ini datang ambil rendang dan beritahu yang dia tidak akan mengundi Azwan, sebaliknya mengundi Azmin Ali. Perkara itu diberitahunya sendiri depan muka saya.

"Tapi dalam masa yang sama dia kata mahu rasa rendang saya. Saya tak maki dia, tapi saya redha dan telan. Memang berat untuk saya sebab dia cakap depan-depan.

"Tapi saya percaya ada hikmah dan dia mesti menyesal dengan keputusannya itu," katanya yang memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram