Selamatkan Tok Gajah, 3 perkara wajib buat Sri Pahang FC


  • Podium
  • Sabtu, 02 Jul 2022

Skuad Tok Gajah hanya menduduki kedua tercorot liga dengan hanya mengumpul lapan mata hasil daripada 10 perlawanan.

MESKIPUN sudah berbelanja besar dengan pembelian beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan kedua baru-baru ini namun prestasi Sri Pahang dilihat semakin merudum dan tiada peningkatan ketara yang dicatatkan.

Selepas tewas di tangan Sabah FC dan pasukan Negeri Sembilan FC, skuad Tok Gajah hanya menduduki kedua tercorot liga dengan hanya mengumpul lapan mata hasil daripada 10 perlawanan.

Aksi lemah yang dipamerkan skuad Tok Gajah itu membuatkan beberapa pihak mempertikai kebolehan ketua jurulatih, Christophe Gamel sehinggakan ada spekulasi mengatakan pihak pengurusan Sri Pahang FC ingin mengganti kedudukannya dengan ketua jurulatih yang baharu.

Menurut laporan media, nasib Christophe Gamel selaku ketua jurulatih Sri Pahang FC kini bergantung pada aksi bertemu Terengganu FC (TFC), Ahad ini (3 Julai 2022). Kedudukannya akan tergugat jika pasukannya terus tewas.

Untuk rekod, Gamel dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu bermula 1 Disember 2021 selepas dinaikkan pangkat daripada penolong jurulatih pada awal musim 2021.

Namun, perkara itu kurang dipersetujui oleh penyokong setia Sri Pahang kerana bagi mereka daripada terus menukar Gamel, pihak pengurusan sepatutnya menambah baik mutu barisan kejurulatihan.

gamel

Gamel dilantik sebagai ketua jurulatih baru kelab itu bermula 1 Disember 2021

Berikut tiga cadangan daripada penyokong tegar skuad Tok Gajah, Pengkritik Kritis buat pengurusan Sri Pahang FC:

1) Perbaiki barisan kejurulatihan

Baginya, skuad Sri Pahang masih memerlukan Gamel sebagai ketua jurulatih namun pihak pengurusan perlu menambah atau menukar barisan pembantu kejurulatihan.

Hal ini kerana, mereka inilah tulang belakang buat ketua jurulatih melatih pemain dengan taktikal berintensiti tinggi yang diberikan yang mana akan membantu samada sesuai ataupun sebaliknya.

Barisan kejurulatihan baharu yang diperlukan adalah dari jurulatih kecergasan, jurulatih analisis, jurulatih kemahiran dan jurulatih penjaga gol.

2) Jurulatih import

Jika pihak pengurusan Sri Pahang berkeinginan untuk menukar barisan kejurulatihan baharu, mereka perlu mengelak daripada merekrut jurulatih tempatan.

Bukan ingin menidakkan kebolehan orang tempatan namun perlu diakui jurulatih import mempunyai gaya dan falsafah gaya permainan moden yang boleh membantu memperbaharui corak permainan.

Tidak usah ambil jauh, lihat sahaja pasukan Johor Darul Takzim yang majoriti menggunakan jurulatih import untuk membantu Benjamin Mora dalam mengendalikan pemainnya.

Pembantu Mora sendiri iaitu Gian Carlo Salazar adalah jurulatih import daripada Mexico yang berpengalaman dalam melatih pasukan bawah 20 tahun skuad Guadalajara.

3) Mewujudkan jurulatih analisis permainan

Jurulatih analisis permainan bertanggungjawab memberi nasihat kepada jurulatih tersebut berkaitan statistik bola sepak dan terlibat dalam taktikal perlawanan.

Mereka ini boleh membantu Pahang untuk menganalisis prestasi setiap pemain skuad Tok Gajah dari segi corak permainan, teknik mereka ketika menyerang dan bertahan serta melakukan serangan.

Tambah penyokong itu penukaran ketua jurulatih tidak akan berkesan jika masalah akar umbi seperti kekurangan pembantu tidak diubah atau ditambah baik.

"Laburlah kewangan untuk memperbaiki barisan kejurulatihan. Kita dah cuba tukar import. Tapi kita belum cuba naikkan kualiti barisan kejurulatihan.

"Takkan balik-balik Dollah Salleh. Jangan ulangi kegagalan, cuba buat benda yang baru," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram