SEJAK kebelakangan ini, rakyat Malaysia mula resah dengan isu kenaikan harga barang keperluan asas.
Di media sosial pula, ramai yang mengeluh kerana tidak dapat membeli minyak masak dalam paket, bahkan harga minyak masak dalam botol 5 kilogram (kg) pula naik mendadak sehingga mencecah hampir RM50.
Malah ada beberapa pemilik kedai runcit menetapkan syarat pengguna membeli barang lain terlebih dulu sebelum dibenarkan mendapatkan minyak masak paket.
Dalam beberapa gambar tular di Facebook, peniaga khususnya amat terkesan dengan kenaikan harga barang ini dan meminta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) untuk memantau harga di pasaran.
Rata-rata orang ramai mempersoalkan bagaimana negara kita adalah pengeluar minyak sawit yang utama, tetapi pengguna tempatan pula menghadapi masalah bekalan dan kenaikan harga yang sangat membebankan.
Ramai yang terjejas dengan masalah yang berlaku pada ketika ini. Ia menyebabkan kos sara hidup meningkat sehingga ramai merasai bahang dan bebannya.
Seorang pengguna Facebook, Toru FL Anaqi memuat naik satu kapsyen memerli harga pasaran semasa minyak masak dengan mengatakan jika ada sesuatu majlis penyampaian hadiah tidak perlu beri benda lain hanya beri barangan keperluan sahaja.
"Tahun-tahun mendatang, hadiah bersara, hadiah hari guru atau hadiah pindah tak perlu susah-susah untuk berbincang dan bergaduh nak beli hadiah apa, tupperware tak nak, barang lain tak nak selepas ini kita bagi minyak saji 5kg sebagai hadiah," tulisnya.
Sebelum ini tindakan kerajaan menamatkan subsidi minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg pada 21 Jun menyebabkan harga minyak berbotol sudah naik berganda-ganda bahkan pasaran tempatan menjangkakan sepanjang Julai ini harga minyak masak akan naik lagi sehingga 40 peratus.
Maka para pengguna diingatkan untuk bersedia, akan sebarang peningkatan harga yang bakal berlaku pada perbelanjaan barangan keperluan kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram