'Nafas terakhir' Gamel atau tempah tiket ke Perancis


  • Podium
  • Sabtu, 02 Jul 2022

Prestasi hambar dan dua kekalahan berturut-turut yang dialami Sri Pahang yang menyebabkan skuad itu kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super. — Agensi

CHRISTOPHE Gamel bersedia dengan sebarang kemungkinan mengenai statusnya selaku Ketua Jurulatih Sri Pahang FC sekiranya skuad itu tewas kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, pada Ahad.

Jurulatih berasal dari Perancis itu berkata, ketika ini, dia kekal fokus mengendalikan skuad Tok Gajah dalam usaha mencatat keputusan positif.

"Saya akan melakukan yang terbaik buat Sri Pahang dan bersedia menerima keputusan kelab.

"Apa yang harus saya lakukan ialah untuk memastikan Sri Pahang berada pada tahap terbaik berdepan TFC di tempat lawan.

"Ini kerana sebarang keputusan yang diambil adalah demi kebaikan Sri Pahang," kata jurulatih berusia 50 tahun itu menurut laporan media baru-baru ini.

Keputusan perlawanan Sri Pahang FC berdepan TFC, bakal menjadi penentu kedudukan buat pengendali berasal dari Perancis itu.

FIMFcC2XoAEwccU

Jika Gamel gagal untuk memastikan kemenangan buat Sri Pahang pada Ahad ini dia tidak lagi bersama dalam pasukan. Facebook

Menurut sumber yang rapat dengan pihak pengurusan, jika Sri Pahang tewas, khidmat Gamel selaku ketua jurulatih akan berakhir susulan prestasi hambar yang dipersembahkan skuad itu.

"Boleh dikatakan bahawa jika Gamel gagal untuk memastikan kemenangan buat Sri Pahang pada Ahad ini, Gamel tidak lagi bersama dalam pasukan.

"Tindakan itu disebabkan prestasi tidak menentu serta kedudukan kedua tercorot Liga Super ketika ini.

"Jika Gamel mahu selamat, dia perlu perlu membentuk kembali pasukan yang mantap untuk menewaskan TFC, pada Ahad," kata sumber itu.

Tindakan itu susulan prestasi hambar dan dua kekalahan berturut-turut yang dialami Sri Pahang yang menyebabkan skuad itu kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan ke-11 liga dengan hanya mengutip lapan mata.

Dua kekalahan berturut-turut yang dialami ketika tewas 1-2 kepada Sabah FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) 0-3 meletakkan Sri Pahang dalam kedudukan bahaya iaitu tersingkir ke Liga Perdana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram