Layan hisap gam atas 'highway' Seremban, polis buru penunggang FZ150


  • 112
  • Sabtu, 02 Jul 2022

Tangkap layar suspek menunggang motosikal sambil menghidu sesuatu dipercayai gam. — TikTok

PIHAK polis sedang mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal dipercayai dalam keadaan khayal di Kilometer 267 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Negeri Sembilan susulan tular video berkenaan di Facebook pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, menerusi video berdurasi 40 saat itu, lelaki terbabit menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.

"Lelaki itu menunggang motosikal seorang diri di lorong tengah lebuh raya dan dipercayai dalam keadaan khayal.

Lelaki penunggang motosikal di lorong tengah lebuh raya itu dipercayai dalam keadaan khayal.

"Dalam rakaman tersebut suspek turut dilihat tidak memakai topi keledar dan tangan kirinya memegang bungkusan plastik sambil menghidunya dipercayai gam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, sehingga kini polis sedang giat mengesan suspek.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta salurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan di talian 06-6033222 untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram