ANGKARA dendam kesumat, seorang lelaki sanggup mengupah penembak upahan bagi membunuh pemuda yang didakwa cuba menggoda isterinya di daerah Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.
Pembunuh upahan itu yang dinamakan sebagai JO mengaku diarahkan suspek dikenali sebagai PE selepas dijanjikan RM 29,429.00 sebagai ganjaran.
Menurutnya, lelaki berkenaan berdendam dengan mangsa, Sabar kerana sebelum ini didakwa lelaki tersebut pernah menggoda isterinya.
Ketua Polis Daerah Sidoarjo Resort Kombes Kusumo Wahyu Bintoro berkata, JO mengaku diarah PE membunuh mangsa kerana motif cemburu.
“Isteri PE digoda mangsa enam tahun lalu,” kata Kombes Kusumo pada Jumaat.
Malah, PE memberikan penembak upahan itu sepucuk pistol FN COLT M 1911 bagi melaksanakan pembunuhan itu.
JO menjalankan tugasnya pada Isnin (27 Jun) yang mana ketika itu dia melihat mangsa di atas jejantas Kampung Tenggulunan.
Selepas menembak mangsa, JO melarikan diri dari tempat kejadian.
Mangsa yang mengalami kesan tembakan di leher dan dada menerima rawatan perubatan di hospital.
Bagaimanapun, selepas dua hari dirawat di Hospital Sidoarjo, mangsa meninggal dunia.
Gabungan pasukan polis dari Polis Sidoarjo, Polis Sampang dan Polis Jawa Timur berjaya menahan JO pada Rabu (29/6/2022) di Kecamatan Sukobanah, daerah Sampang, Jawa Timur.
Sementara itu, PE masih diburu oleh pihak polis.
"PE kini menjadi buruan pihak polis," kata Kusumo.
Pihak polis menamakan JO sebagai suspek dalam kes itu dan dia didakwa dengan Perkara 340 Kanun Jenayah berhubung pembunuhan terancang dengan ancaman maksimum penjara 20 tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram