Tak turun lawan JDT, tonggak pemain Melaka United rupanya berstatus kontrak penuh


  • Podium
  • Sabtu, 02 Jul 2022

Ifedayo adalah pemain yang berkontrak penuh bersama Melaka United FC sejak awal musim ini. — Facebook

MENJELANG perlawanan pada Sabtu dalam saingan Liga Super, Melaka United dilihat sedikit tempang dalam persiapan para pemain untuk menghadapi cabaran Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, Melaka.

Pada Jumaat, satu laporan media menyebut pemain import Melaka United musim ini, Ifedayo Olusegun sebenarnya adalah pemain pinjaman JDT sehingga membuatkan penyokong bola sepak terkejut dengan status pemain tersebut.

Pada musim lalu, Ifedayo adalah pemain Selangor FC sebelum berhijrah ke Melaka United selepas dikatakan gagal mencapai persetujuan gaji untuk sambungan kontrak pada musim ini.

Pemilik pasukan Melaka United, Datuk Wira Justin Lim, pada Sabtu menafikan dakwaan bahawa Ifedayo merupakan pemain pasukan JDT di laman rasmi Facebook Melaka United Football Club.

"Berhubung laporan mengenai penyerang Melaka United FC, Ifedayo Olusegun bertajuk 'Mat Yo' ganti Ifedayo dalam laporan akhbar pada Jumaat, yang mana mendakwa Ifedayo adalah pemain pinjaman dari kelab Johor Darul Takzim (JDT) yang tular di media-media sosial.

"Kelab Bolasepak Melaka United FC dengan ini ingin menegaskan laporan berkenaan adalah tidak tepat dan telah diputarbelitkan daripada kenyataan sebenar oleh Pemangku Ketua Jurulatih, Mohd Asri Ninggal.

"Kami ingin menegaskan bahawa Ifedayo adalah pemain yang berkontrak penuh bersama Melaka United FC sejak awal musim ini dan bukan berstatus pinjaman dari JDT seperti dua lagi pemain iaitu Fadhli Shas dan Syazwan Andik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya lagi, beliau berasa kecewa dengan artikel yang tidak tepat sehingga memberi impak negatif kepada imej kelab.

"Pihak Melaka United FC kesal dengan laporan tidak benar yang tular sehingga memberi impak negatif kepada imej kelab menjelang aksi penting Liga Super Malaysia 2022 menentang JDT di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu.

Secara peribadi, saya juga kesal dengan beberapa laporan negatif, tidak benar serta tiada bukti kukuh yang sering dilemparkan kepada kelab bolasepak Melaka United. Laporan - laporan seperti ini pastinya memberi persepsi buruk kepada Melaka United FC secara keseluruhannya.
Sehubungan itu, Melaka United FC akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada wartawan yang melaporkan," ujarnya lagi.

Pada musim lalu, Ifedayo dilaporkan berjaya mendapatkan pasport Bahrain. Ini menjadikan pemain import seperti Ifedayo amat bernilai.

Dengan pasport Bahrain yang dipegangnya, Ifedayo boleh didaftarkan sebagai pemain import Asia. Itu merupakan perancangan pihak pengurusan Selangor ketika pemain itu masih bersama mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Melaka United, Ifedayo, JDT, Perlawanan