Fazley Yaakob masih teringat kata-kata keramat Adibah Noor


  • Hiburan
  • Ahad, 19 Jun 2022

Fazley Yaakob sebelum ini pernah menyertai pertandingan realiti bersama Adibah Noor.

PEMERGIAN penyanyi, pelakon dan pengacara, Adibah Noor masih dirasakan apatah lagi sebelum ini figura itu tidak pernah mendedahkan yang dirinya mengalami sebarang penyakit serius.

Antara yang terasa dengan kehilangan Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohamed Omar, 51, adalah penyanyi dan usahawan, Datuk Fazley Yaakob yang sebelum ini bersama-sama dengan Allahyarham dalam satu pertandingan realiti.

"Allahyarham ibarat seorang kakak yang sentiasa memberi saya semangat tak kira di mana ruang pentas kami bekerja baik. Hari terakhir saya di pentas Gegar Vaganza, bertubi-tubi mesej Allahyarham bermula dengan kata-kata 'Im already missing you'.

"Terlalu banyak yang kami bicarakan, terlalu dalam yang kami luahkan bersama. Keadaannya yang dah mula sakit pun dibisikkan ke telinga saya.

"You gotta be strong Fazley. I'm not well but i'm still gonna be strong. Kata-kata keramat yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga saya," katanya.

71655610095_freesize

Jenazah Allahyarham Adibah Noor dibawa ke tanah perkuburan. — Astro Awani

Sementara itu, pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Hans Isaac pula memberitahu yang Allahyarham tidak pernah mendedahkan mengenai keadaan kesihatan dirinya.

"Tidak berkongsi (tentang sakit). Selalu yang dia sebut ialah kebaikan orang lain dalam industri. Dia selalu berjuang untuk orang lain atau hak dalam industri seni.

"Dia tidak pernah mengadu mengenai diri sendiri. Itu yang saya tahu. Dan apabila saya hubungi dia untuk apa-apa projek, dia akan ‘okay’.

"Selagi ada kelapangan, Adibah Noor okay saja," katanya.

Terdahulu, Allahyarham Adibah Noor meninggal dunia pada pukul 7.40 malam Sabtu (18 Jun) di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 11.31 pagi di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram