Lupakan seteru domestik, Kedah tidak perlu tertekan dengan kejayaan JDT, Harimau Malaya


  • Podium
  • Isnin, 20 Jun 2022

KDA FC perlu mengetepikan segala seteru di peringkat domestik dan tidak terpengaruh dengannya.— Facebook/Johor Southern Tigers

KEDAH Darul Aman (KDA) FC perlu melihat kejayaan Johor Darul Takzim (JDT) dan Harimau Malaya sebagai pembakar semangat untuk mempamer prestasi terbaik di Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022.

Bagaimanapun, skuad Sang Kenari dinasihatkan supaya tidak menjadikan kejayaan kedua-dua pasukan itu di peringkat Asia sebagai satu tekanan sebaliknya hanya memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

Perkara itu dikongsi oleh pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli yang turut menyatakan bahawa pasukan itu juga perlu mengetepikan segala seteru di peringkat domestik dan tidak terpengaruh dengannya.

"Kejayaan JDT dan Harimau Malaya merupakan satu perkembangan yang positif dan sepatutnya menjadi perangsang untuk pasukan lain termasuk Kedah supaya beraksi lebih cemerlang dalam perlawanan.

"Menerusi kejayaan itu juga, pemain sepatutnya sudah ada keyakinan yang lebih tinggi di samping mempunyai semangat untuk menunjukkan taraf bola sepak tempatan semakin meningkat ketika ini," katanya kepada Majoriti.

JDT MAIN

JDT perlu dijadikan sebagai penanda aras untuk kelab lain lebih berjaya.

Beliau mengulas tentang perbandingan yang dibangkitkan peminat tentang prestasi JDT menyumbang kepada kebangkitan Harimau Malaya dengan ramai pemain kelab Harimau Selatan itu mewakili negara.

Sebaliknya, ada peminat mempersoalkan sebab Harimau Malaya tidak boleh menyerlah ketika zaman kegemilangan Kedah mencipta sejarah sebagai satu-satunya kelab memenangi double treble, iaitu menyapu tiga piala untuk dua musim berturut-turut.

Pekan berkata, Kedah seharusnya membawanya sebagai bekalan untuk berdiri sama taraf dengan JDT dan Harimau Malaya dengan membawa pulang kejayaan di AFC 2022.

Jelas beliau lagi, meskipun Kedah dan JDT sering terpalit dengan pelbagai konflik dari peringkat pengurusan hingga penyokong, perkara itu sepatutnya diletakkan di masa lalu supaya ia tidak menjejaskan semangat dan mentaliti pemain untuk memberikan yang terbaik.

"Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan yang berbeza dan sebaiknya tidak perlu ada perbandingan antara mereka sebaliknya fokuskan untuk memberikan yang terbaik.

"Ketepikan segala kerisauan dan tekanan daripada faktor lain, saya pasti Kedah tidak akan duduk diam menjelang perlawanan mereka di AFC," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram