Undang-undang 1950an, denda RM100 dah tak sesuai — Ketua Polis Negara


  • 112
  • Ahad, 19 Jun 2022

Acryl Sani setuju dengan cadangan Perdana Menteri jika undang-undang dipinda semula.

ARAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya undang-undang lapuk disemak adalah tepat pada masanya memandangkan trend jenayah semasa berubah dalam era teknologi digital.

Perkara itu diakui Ketua Polis Negara, kata Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang menyambut baik arahan itu kerana ia boleh lebih berkesan dalam membendung jenayah.

"Satu daripada undang-undang yang memerlukan pindaan segera ialah Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Undang-undang ini telah digubal sebelum negara mencapai kemerdekaan apabila perjudian dijalankan secara konvensional.

"Bagaimanapun, pada masa kini, perjudian dijalankan secara dalam talian dan sukar bagi polis untuk mengemukakan bukti kukuh serta mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kesalahan itu.

"Kami menyokong penuh aspirasi kerajaan dalam mengkaji semula undang-undang lapuk yang dilihat tidak lagi relevan. Menyemak undang-undang sebegini akan menambah baik perundangan agar sesuai dengan keperluan perkembangan semasa," katanya.

Terdahulu, pada Jumaat, Ismail Sabri berkata, bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri akan mengkaji semula undang-undang sedia ada, termasuk 147 undang-undang lapuk.

Penambahbaikan kepada undang-undang itu, katanya, diperlukan untuk kekal relevan dengan keadaan semasa dan kemajuan teknologi.

"Teknologi digital berkembang pesat. Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada mungkin tidak relevan atau agak mundur. Akta Rumah Judi Biasa misalnya, hanya meliputi penguatkuasaan aktiviti perjudian di premis fizikal dan bukan dalam talian," katanya.

Sambil memuji pengumuman Perdana Menteri, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, semakan seumpama itu diperlukan untuk menepati tuntutan semasa dan trend jenayah.

"Terdapat undang-undang yang diperkenalkan pada 1950-an atau 1960-an yang masih digunakan hari ini, tetapi ini tidak semestinya sesuai dengan zaman sekarang.

"Sebagai contoh, denda RM100 untuk kesalahan kecil mungkin banyak pada masa lalu tetapi (hari ini), ia tidak lebih daripada satu tamparan di pergelangan tangan dan kebarangkalian untuk diulangi pesalah adalah tinggi," katanya.

Ujarnya, kajian dan pindaan undang-undang lapuk diperlukan supaya polis dapat menguatkuasakan undang-undang dengan berkesan.

"Kajian semula undang-undang lama ini juga bagi mengelakkan sebarang pertindihan sekiranya mana-mana perundangan baharu diperkenalkan.

"Undang-undang baharu yang diperkenalkan harus menyediakan penyelesaian keseluruhan, bukannya langkah hentian sekali sahaja," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram