BERBAKI kurang seminggu sahaja lagi, pasukan Liga Malaysia (Liga M) giat memancing muka-muka baharu untuk memantapkan skuad masing-masing sebelum jendela perpindahan kedua ditutup pada 24 Jun 2022.
Menariknya pada musim ini banyak pasukan berbelanja besar dengan melakukan rombakan pemain bagi memperkuatkan skuad masing-masing untuk mengharungi saki-baki saingan liga.
Penang FC antara pasukan yang tidak ingin melepaskan peluang untuk melakukan perubahan terutama selepas rekod yang dicatatkan mereka pada awal liga agak kurang memberangsangkan.
Gagal mencatat kemenangan dalam saingan Liga Super menjadi alasan kuat buat pasukan Harimau Kumbang merekrut pemain baharu yang boleh menyumbang kepada perubahan kedudukan skuad tersebut.
Menurut jurulatih baharu Harimau Kumbang, Zainal Abidin Hassan berkata, pada jendela perpindahan kedua kali ini, Penang FC sudah mengenal pasti beberapa pemain untuk menjadi wajah baharu dalam pasukan itu.
Zainal dilantik sebagai pengendali baharu skuad Harimau Kumbang selepas Penang FC menghentikan khidmat Tomas Trucha. — Facebook Penang FC
Namun, halangan seperti kontrak yang belum berakhir antara cabaran perlu ditempuhi Penang FC untuk merekrut pemain-pemain baharu itu.
"Untuk perkuatkan pasukan kami memang ada rancangan ingin membuat perubahan tetapi jendela perpindahan kali ini memang sukar untuk cari pemain-pemain terutamanya pemain tempatan yang hebat.
"Pemain tempatan yang hebat ini rata-ratanya masih mempunyai kontrak dengan kelab lama tetapi kami masih tidak berputus asa dan ingin terus mencuba.
"Kami dah kenal pasti beberapa pemain tapi pemain yang kami nak, masih terikat dengan pasukan masing-masing," katanya kepada Majoriti.
Menurut Zainal, disebabkan perkara itu, Penang FC masih menurunkan pemain yang sama sebagai kesebelasan utama seperti yang dilakukan oleh jurulatih sebelum ini.
"Bagi saya kesebelasan utama tidak banyak berubah kerana saya masih cuba untuk menyerahkan satu dua pemain jika boleh sebelum pintu jendela perpindahan ditutup.
"Buat masa ini saya masih lagi mempunyai pasukan yang sama iaitu barisan pemain yang dikendalikan oleh jurulatih sebelum ini," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram