Kedah, KL City boleh menyerlah di AFC dengan syarat berat


  • Podium
  • Isnin, 20 Jun 2022

Kedua-dua pasukan sebaiknya tidak termakan dengan perang siber dan pandangan negatif penyokong. — Agensi

SAINGAN peringkat kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022 yang melibatkan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan KL City FC bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air yang mengharapkan kedua-dua wakil negara itu menyerlah dalam kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, terdapat segelintir penyokong memberi jangkaan yang negatif terhadap kemampuan kedua-dua pasukan yang mana dikatakan tidak menyerlah dalam liga domestik musim ini.

Meskipun begitu, pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli berpendapat sebaliknya dan menyatakan bahawa Kedah dan KL City FC boleh memberikan aksi yang terbaik untuk membawa nama negara di Piala AFC 2022.

Kata beliau, padanya kedua-dua pasukan mampu memberikan yang terbaik kerana mereka berada di bawah kendalian jurulatih yang berpengalaman berdepan dengan pasukan-pasukan Asia.

"Kedua-dua pasukan mempunyai jurulatih yang cukup berpengalaman terutama pengedali KDA FC, Aidil Sharin Sahak yang sebelum ini berjaya membawa pasukan Singapura, Home United menjuarai Piala AFC sebelum ini. Sudah pasti dia tahu resepi untuk membawa di kejohanan yang sama.

"Tidak hanya itu, KL City pula mempunyai Bojan Hodak yang bukan calang-calang dan berpengalaman menerajui pasukan dalam perlawanan menentang pasukan-pasukan Asia," katanya kepada Majoriti.

KL coach Bojan Hodak celebrat with Malaysia cup after beat JDT 2-0 in the final at National stadium in Bukit Jalil yesterday..-30/11/2021/s.s.kanesan/The star

Bojan mempunyai rekod yang baik mengemudi kelab Liga Malaysia.

Tambahnya lagi, tidak hanya itu kedua-dua pasukan juga mempunyai rekod kejayaan yang memberangsangkan dalam liga tempatan dan pemain berpengalaman untuk membawa misi kejayaan di Piala AFC 2022.

Jelasnya lagi, walaupun boleh memberi aksi terbaik, kedua-dua pasukan sebaiknya tidak termakan dengan perang siber dan pandangan negatif penyokong yang boleh memberi kesan kepada semangat dan mentaliti pemain.

"Dengan adanya perbandingan dan provokasi sudah pasti ada segelintir yang tidak yakin dengan kemampuan kedua-dua pasukan terutama Kedah yang sering dilagakan dengan Johor Darul Takzim (JDT).

"Diharapkan kedua-dua pasukan tidak terpengaruh dengan komen-komen negatif ini dan meletakkan fokus untuk memberi aksi cemerlang dalam perlawanan," ujarnya.

Hard at work: Kedah coach Aidil Sharin (centre) joining his players in training ahead of their Malaysia Cup final against JDT at the National Stadium in Bukit Jalil tonight. —  IZZRAFIQ ALIAS / The Star

Aidil Sharin perlu mempunyai strategi lebih ampuh untuk berjaya di AFC.

Mengulas tentang komen negatif peminat KDA FC yang menjangkakan Sang Kenari akan menjadi pasukan belasahan, Pekan memberitahu penyokong sepatutnya berpijak kepada realiti dan faham dengan situasi semasa yang melanda pasukan.

Hurainya lagi, dia percaya Aidil Sharin mempunyai strategi sendiri untuk membentuk Kedah buat Piala AFC 2022 dan bukan menerapkan taktikal kuno seperti didakwa.

"Kita kena faham Kedah dalam fasa uji kaji pasukan baharu selepas kehilangan pemain-pemain handalan mereka, dan bagi memahami pasukan saya percaya Aidil Sharin menggunakan pelbagai strategi termasuk yang terdahulu untuk melihat sejauh mana keupayaan pasukan baharunya.

"Saya akui, prestasi Kedah mahupun KL City musim ini kurang memberangsangkan di peringkat domestik, tetapi kita harus positif, mereka sudah pasti ada peracangan tersendiri untuk mempersiapkan diri ke Piala AFC 2022," kongsinya.

Turut prihatin dengan KL City, Pekan juga berharap agar konflik dalaman yang melanda pasukan itu tidak menjejaskan persediaan mereka untuk mewakili Malaysia.

Sebelum ini ada laporan menyebut juara Piala Malaysia 2021 itu mengalami isu tunggakan gaji dan wujudnya kem baharu yang mahu mengambil alih pengurusan kelab itu.

Bagaimanapun isu tersebut kian menyepi dan tiada perkembangan terbaharu tentang peralihan pengurusan mahupun isu tunggakan gaji setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram