NAMA duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta tidak asing lagi dalam industri seni apatah lagi mereka sebelum ini sudah berkolaborasi dengan nama besar dalam industri muzik tempatan.
Sebelum ini, pilihan mereka untuk berkolaborasi adalah Datuk M. Nasir menerusi lagu Zuhud, Datuk Seri Siti Nurhaliza (7 Nasihat) dan Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Neraca.
Terbaharu, mereka tampil dengan lagu baharu berjudul Makuta dan kali ini bersama penyanyi, Hazama.
Luca atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin berkata, dia melihat diri Hazama sebagai seorang legenda muda dalam industri seni.
Hazama (tengah) menjadi pilihan duo hip hop Kmy Kmo (kiri) dan Luca Sickta.
"Pemilihan Hazama sebenarnya diputuskan selepas mengambil kira bakat, karakter dan personaliti seorang penyanyi rock.
"Bagi saya, Hazama adalah seorang penyanyi yang sangat menjiwai setiap apa yang diamanahkan. Dia tahu apa itu seni lagu dan setiap nyanyiannya sebelum ini memang menusuk ke kalbu," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim berkata, dia mengakui yang penulisan lagu terbaharu mereka kali ini sangat mencabar apatah lagi tiga lagu sebelum ini mendapat sambutan yang baik.
Jelasnya, mereka akui tertekan kerana perlu mengekalkan momentum lirik karya-karya sebelum ini tetapi tetap yakin dengan setiap bait-bait lirik yang disajikan kepada pendengar.
Bercerita mengenai lagu terbaharu mereka, Kmy Kmo berkata, lagu mereka mengisahkan mengenai propganda, ketidakadilan dan korupsi yang berlaku dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram