Harimau Malaya tidak akan jadi mangsa buli lagi — FAM


  • Podium
  • Rabu, 15 Jun 2022

Malaysia menamatkan penantian lebih empat dekad apabila melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023.— Sinar Harian

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) berazam untuk menjadikan skuad kebangsaan sebagai pasukan yang hebat dan bukan lagi dijadikan mangsa buli pasukan terbaik dunia pada kejohanan Piala Asia 2023.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, justeru baki masa yang tinggal ini bakal digunakan sebaiknya oleh beliau dan barisan kejurulatihan bagi mencari formula terbaik untuk mengasah lagi taring Harimau Malaya sebelum kejohanan tersebut.

“Kita sudah ada persiapan yang komprehensif untuk pasukan Harimau Malaya sebelum bertanding di Piala Asia 2023. Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon sudah menyediakan pelan tersebut.

“Sebab apabila Harimau Malaya masuk ke pusingan akhir Piala Asia, kita tidak mahu lagi pasukan ini dibuli oleh pasukan lain.

“Mungkin agak sukar ketika ini untuk melawan pasukan seperti Korea, Jepun dan Australia sebab mereka sudah berada di taraf lain. Mungkin pasukan selain daripada itu kita boleh 'fight' ketika menentang mereka,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Malaysia menentang Bangaldesh pada Selasa.

Pada Selasa, Malaysia menamatkan penantian lebih empat dekad apabila melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 selepas membenam Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Keempat-empat gol pasukan negara masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok.

Gol tunggal pasukan Bangladesh dijaringkan Mohammad Ibrahim.

Dalam pada itu, Hamidin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan kejurulatihan dan pemain yang berjaya membawa Malaysia kembali bermain di pentas Piala Asia.

Menurutnya, kejayaan yang diraih Harimau Malaya tidak hanya datang daripada pihak FAM semata-mata, malah ia melibatkan pelbagai pihak termasuklah penyokong, kelab-kelab bola sepak dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Pertama, saya hendak ucapkan tahniah kepada semua pemain yang berjuang untuk menamatkan kemarau 42 tahun sejak 1980. Keputusan ini bukannya datang sekelip mata, namun ia adalah persiapan yang dilakukan sejak dahulu lagi.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang hadir dua kali ke stadium dan semua kelab yang dapat melahirkan pemain dan berada dalam pasukan. JDT banyak menyumbang dari jumlah pemain serta terima kasih juga kepada MFL yang banyak membantu pasukan kebangsaan dari segi jadual liga.

“Saya juga menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana Harimau Malaya berjaya mengikut jejak langkah kejayaan JDT di Asia. Banyak kelab dah mula ikut apa yang JDT lakukan untuk lahirkan pemain berkualiti dan juga menaik taraf infrastruktur.

“Tidak dilupakan Ultras Malaya dan semua penyokong Malaysia baik di stadium mahupun di mana sahaja kerana semangat anda ini adalah bukti bahawa bola sepak adalah sukan rakyat dan mempunyai reputasi serta semangat kenegaraan yang tinggi,” jelas Hamidin. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram