Kenapa Cools layak sarung lilitan kapten Harimau Malaya, ini 3 sebabnya


  • Podium
  • Rabu, 15 Jun 2022

Saya tidak menyesal apabila memilih untuk mewakili Malaysia dan saya sanggup mati untuk negara. — Facebook

PEMAIN pertahanan negara Dion Cools, menikmati momen-momen indah bersama pasukan kebangsaan apabila dia berjaya membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2023 selepas menewaskan Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada Selasa.

Dalam perlawanan tersebut, pemain kacukan Malaysia-Belgium itu membuat rembatan deras dari luar kotak penalti yang menumpaskan penjaga gol lawan untuk kedudukan 2-1 pada minit ke-38.

Ia sekali gus mencatatkan gol pertamanya bersama Malaysia di peringkat antarabangsa dan dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Dia juga menegaskan semua pemain yang beraksi juga wajar diangkat sebagai pemain terbaik.

Pada minit ke-68 lensa kamera fokus ke arah Syafiq Ahmad yang memberikan lilitan kapten kepada Cools sekali gus disambut dengan sorakan penyokong-penyokong yang hadir ke SNBJ.

Di ruangan komen media sosial pula, penyokong-penyokong Harimau Malaya seakan-akan bersetuju jika selepas ini lilitan kapten diberikan kepada pemain berusia 26 tahun yang berkelana di negara Belgium itu.

Berikut adalah tiga sebab kenapa Dion Cools wajar menjadi ketua pasukan kebangsaan di masa akan datang:

dion-cools-vs-diogo-jota_169

Cools pernah menentang gergasi Eropah seperti Manchester United, Real Madrid di pentas Liga Juara-Juara. Agensi

1. Pengalaman

Kehadiran Dion Cools menguatkan lagi benteng barisan pertahanan negara sehingga mengubah corak bertahan pasukan Harimau Malaya yang mana sebelum ini sering dibolosi pihak lawan.

Cools mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas mega seperti Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Club Brugge dan FC Midtjylland pasti ditagih bagi membimbing rakan-rakan sepasukan yang lain ketika bersama Harimau Malaya.

Dalam satu hantaran oleh Goal Asia, pemain yang pernah menentang gergasi Eropah seperti Manchester United, Real Madrid di pentas Liga Juara-Juara dan pengalamannya bersama pasukan muda Belgium menjadi faktor utama kenapa dia mampu menjadi kapten Harimau Malaya.

Cools juga sebelum ini pernah melaungkan azam bagi membantu pasukan negara terus beraksi di pentas Asia dan merangkul kejuaraan di setiap pertandingan yang disertai oleh pasukan kebangsaan.

r990322_1296x729_16-9

Cools menjadi watak penting sehingga tidak pernah digugurkan daripada kesebelasan utama pasukan Harimau Malaya. Facebook

2. Kekuatan

Semasa sidang media Malaysia bertemu Turkmenistan pada Selasa, Dion Cools tidak menghiraukan kelebihan fizikal dimiliki barisan pemain lawan malah dia yakin dengan kemampuan rakan sepasukan lain.

Pemain ini boleh beraksi di pelbagai posisi di bahagian pertahanan dan juga tengah. Ini membuktikan bahawa dia sering bersedia untuk memikul apa-apa tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Pada musim ini, Cools menjadi watak penting buat pasukannya, Zulte Waregem kerana kehadirannya secara pinjaman ke kelab tersebut memberi impak cukup besar kepada pasukan kendalian T. Simons apabila diberi peranan utama dalam percaturannya.

Keadaan itu sama seperti pasukan kebangsaan di bawah Kim Pan-gon apabila dia sekali lagi menjadi watak penting sehingga tidak pernah digugurkan daripada kesebelasan utama pasukan Harimau Malaya.

Sejak 2021, Cools berjaya membuat 10 penampilan serta satu jaringan gol bersama pasukan Malaysia.

KUALA LUMPUR, 14 Jun -- Pemain Harimau Malaya Dion Cools menanduk bola ke gawang gol pasukan Bangladesh pada Perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 menentang pasukan Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.Keputusan semasa Malaysia 3 - 1 Bangladesh.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Cools juga sememangnya antara pemain yang paling disenangi oleh peminat. Facebook

3. Karakter

"Saya tidak menyesal apabila memilih untuk mewakili Malaysia dan saya sanggup mati untuk negara".

Itulah kata-kata dan karakter dari pemain pertahanan negara selepas dia berjaya membantu pasukan kebangsaan menamatkan penantian selama 42 tahun untuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit.

Sepanjang kempen kelayakkan Piala Asia, dapat dilihat karakter yang dibawa oleh Cools di dalam dan luar padang menepati kriteria untuk menjadi seorang ketua bagi sebuah pasukan.

Cools juga sememangnya antara pemain yang paling disenangi oleh peminat kerana ketenangan dan semangat yang ditunjukkan di atas padang dan dia dianggap benar-benar bermain demi negara.

Beraksi dalam liga elit Eropah dan berpengalaman bersaing dengan bintang bola sepak dunia tidak membuatkan pemain ini sombong dan dia dikatakan antara pemain mudah mesra dan cepat bergaul dengan pemain lain dalam skuad Harimau Malaya walaupun mereka jarang berjumpa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram