Elak menipu rakyat Malaysia, pendaki Everest perlu tunjuk gambar, video sebagai bukti pendakian - Qobin


  • Primer
  • Rabu, 15 Jun 2022

Everest memiliki ketinggian 8,849 meter dan terletak di Banjaran Himalaya.

BARISAN pendaki Everest yang berjaya menjejakkan kaki di puncak Everest perlu mempamerkan bukti sah dalam bentuk bergambar atau video bagi melayakkan mereka digelar sebagai pendaki Everest.

Perkara tersebut disahkan oleh Exco Pergerakan Pemuda Umno yang juga Penjelajah Grand Slam Negara dan Pendaki 7 Benua, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin.

Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin

Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin

Katanya, tidak mengira sama ada pertama kali, kedua atau kali ketiga, pendaki masih perlu memberikan bukti kukuh dan mendapat pengesahan oleh sherpa yang menemani termasuk pegawai daripaa Kementerian Pelancongan Nepal serta menerima sijil daripada kementerian.

"Sebagai penggiat rekreasi, saya ingin menyatakan, pendakian ke Everest bukanlah semudah mulut bercakap. Mendaki Everest memang menelan belanja hampir RM160,000 ke RM200,000, tetapi latihan dan persiapan pendaki juga penting.

"Seorang pendaki sebelum ke Everest boleh menelan belanja RM80,000 hingga RM150,000 kerana untuk mendaki Everest, pengalaman mendaki di gunung-gunung bersalji lain, latihan fizikal, persediaan mental perlu cukup agar tiada risiko kegagalan dan paling membimbangkan risiko kematian.

"Jangan malu mengaku kegagalan daripada menipu semua orang terutama rakyat Malaysia demi mendapatkan penghormatan yang tidak bermaruah," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Muhamad Muqharabbin turut meminta agar pendaki tidak menyebarkan maklumat palsu kepada media kerana bimbang akan berlaku salah faham.

"Media juga perlu menanyakan perkara demikian kepada mana-mana pendaki dengan mendapatkan pengesahan yang jelas kerana ianya akan menjadi bahan sejarah yang sah bahkan juga palsu sekiranya tersalah informasi," jelasnya lagi.

Berdasarkan kejayaan sebelum ini, beliau merupakan penjelajah Grand Slam Pertama Malaysia yang berjaya menamatkan pendakian ketujuh puncak tertinggi di 7 benua pada 2010 hingga 2014.

Beliau turut mencatat kejayaan berski 'last degree' di Kutub Utara dan Kutub Selatan pada tahun 2017 dan 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram