Rasa macam getah tayar, pelanggan KFC kecewa dakwa dijamu burger lama


  • Tular
  • Rabu, 15 Jun 2022

Tangkap layar video burger lama KFC yang tular di media sosial.

MAKANAN segar dan berkualiti antara perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan di sesebuah premis makanan bagi menjaga kepuasan pelanggan.

Namun, lain ceritanya apabila sebuah restoran makanan segera terkenal dikatakan menjamu pelanggan dengan hidangan ayam yang telah lama masak.

Menerusi perkongsian @asxrf di laman Twitter, burger ayam yang dipesannya kelihatan lama dan liat.

Malah, burger tersebut dipercayai dipanaskan semula untuk dihidangkan kepada pelanggan.

"First and foremost, what is this? Kau panggil ni makanan ke apa kualiti dah gaya getah tayar?

"Memang ayam lama yang mungkin dah dipanaskan semula untuk berapa banyak kali yang saya tak tahu. Saya ingatkan makanan di sini dimasak segar," katanya berang.

Tambahnya, perkara tersebut berlaku pada Selasa di restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) cawangan Cyber Valley, dekat Dengkil, Selangor.

Setakat ini, hantaran tersebut mendapat 2,290 ciapan semula (retweet) dengan 2,379 memberi tanda suka (likes).

Majoriti masih cuba menghubungi @asxrf untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, KFC Malaysia berkata, pihaknya secara peribadi telah menghubungi pelanggan tersebut serta memohon maaf atas pengalaman tidak menyenangkan itu.

Katanya, pihaknya juga berterima kasih kepadanya kerana telah membawa perkara tersebut untuk perhatian syarikat.

"KFC Malaysia kesal pelanggan tidak mendapat pengalaman Finger Lickin' Good. Kualiti produk dan kepuasan pelanggan adalah penting bagi kami.

"Tindakan yang sewajarnya telah diambil dan kami komited untuk meningkatkan produk dan perkhidmatan kami secara konsisten," katanya.

November tahun lalu, penduduk daerah Semenyih, Selangor meluahkan rasa kecewa dengan pihak khidmat pelanggan dan kualiti makanan restoran KFC di daerah itu.

Antara aduan yang diterima termasuk ayam goreng mempunyai rasa hangit dan kemungkinan digoreng dengan minyak lama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram