Polis tahan lelaki mengamuk di lebuhraya PLUS di Kuala Kangsar


  • 112
  • Rabu, 15 Jun 2022

Suspek dipercayai mengamuk kerana hilang kawalan emosi di bawah pengaruh dadah. — Facebook

POLIS menahan lelaki yang dipercayai mengamuk selepas memberhentikan kereta di lorong kanan KM 253 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kuala Kangsar, Perak pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan di kediamannya di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 9 malam pada Isnin.

"Suspek dipercayai mengamuk kerana hilang kawalan emosi di bawah pengaruh dadah.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak pada hari ini untuk mendapatkan arahan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh Perak pada Selasa.

Beliau berkata, suspek telah direman pagi semalam dan difahamkan akan dituduh di mahkamah pada Khamis.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat dan melakukan galangan di jalan awam serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu galangan disebabkan kenderaan di jalan.

Turut tular gambar lelaki itu berdiri di lorong kanan lebuh raya yang dimuat naik pengguna media sosial yang mendakwa suspek memberhentikan kereta sebelum turun dari kenderaan lalu mengamuk sambil memegang rantai emas dan memanjat kereta berdekatan selain menendang kereta pengguna lebuh raya itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, amuk, tular, Mior Faridalathrash Wahid