Hamid Gurkha meninggal dunia


  • Hiburan
  • Selasa, 14 Jun 2022

Hamid Gurkha meninggalkan seorang isteri, lapan anak, 32 cucu dan 18 cicit.

PELAWAK legenda, Hamid Gurkha, 90, disahkan meninggal dunia akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor kira-kira pukul 2.19 petang pada Selasa.

Berita pemergian Hamid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman itu dimaklumkan oleh anak bongsunya, Nor Ashita Hamid.

"Doktor mengesahkan arwah bapa mempunyai penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.

"Kami reda atas pemergian arwah. ALLAH lebih menyayangi arwah selepas enam hari dimasukkan ke hospital," katanya kepada Majoriti.

Menurut Nor Ashita, jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan belum dapat menjangka bila proses pengebumian akan dilakukan.

"Pengebumian mungkin akan dilakukan hari ini (Selasa) atau esok tetapi kami harap semuanya dapat dipercepatkan," katanya.

Terdahulu pada Khamis, Nor Ashita memaklumkan Allahyaram berada dalam keadaan stabil selepas dirawat di hospital kerana mengalami batuk teruk.

Allahyarham mempunyai seorang isteri, Timah Abdul Hamid, 80, dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia.

Selain itu, Allahyarham juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.

Untuk rekod, nama Allahyarham, Hamid Gurkha melonjak di persada seni tanah air bermula pada tahun 1980-an apabila beliau membintangi pelbagai filem.

Filem seperti Sikit Punya Gila (1982), Ragam Pemandu (1986), dan Main-Main Hantu (1990) memberi impak besar kerana filem itu memperkenalkan namanya kepada masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram