PENGUNDURAN Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim daripada menguruskan kelab itu mengejutkan banyak pihak terutamanya buat pemain dan penyokong Harimau Selatan sendiri.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik oleh Johor Southern Tigers di Facebook pada 9 Jun, TMJ secara rasminya menyatakan hasratnya untuk mengundur diri selepas hampir sedekad menguruskan pasukan Harimau Selatan.
Bersama JDT, TMJ berjaya memenangi banyak kejuaraan termasuklah menjulang kejuaraan liga sebanyak lapan musim berturut-turut dan memberi banyak bantuan kepada para pemain termasuklah bekas bintang Sabah FC, Rozaimi Abdul Rahman.
Rozaimi dalam satu hantaran di Insta Story pada Selasa mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana sebelum ini sudi membantu proses pemulihan kecederaan panjangnya sebaik terlibat kemalangan jalan raya.
"Satu-satunya. Bos terbaik @hrhcrownprinceofJohor menyelamatkanku dalam kerjaya bola sepak selepas kemalangan," katanya pada Selasa.
Tangkap layar hantaran Insta Story Rozaimi yang dimuat naik semula TMJ pada Selasa.
Ucapan itu dihantar bersama sebuah video tribute khas yang dihasilkan bagi mengenang momen penting dan saat indah buat TMJ ketika bersama pasukan Harimau Selatan selama hampir 10 tahun.
Rozaimi yang memulakan kariernya bersama Sabah pernah menabur bakti bersama pasukan JDT selama 5 tahun bermula pada 2016 dan kebanyakan aksi pemain itu adalah bersama pasukan JDT II. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram