Bergurau bawa bom, bekas pegawai kerajaan kena 'halau' dari pesawat


  • Benua
  • Selasa, 14 Jun 2022

Bekas Ketua Daerah Buton Selatan, La Ode Arusani bersama pegawai Lapangan Terbang Betoambari. — Agensi

AKIBAT bergurau membawa bom, seorang penumpang lelaki yang menaiki penerbangan Wings Air diarahkan turun dari pesawat berkenaan.

Berdasarkan pengesahan dari pihak Wings Air, penumpang tersebut ialah bekas Ketua Daerah Buton Selatan (Busel), Sulawesi Indonesia iaitu La Ode Arusani.

Salah seorang pegawai Wings Air, Tesar Mardan mengesahkan kejadian itu dan berkata, kejadian berkenaan bermula apabila penumpang tersebut bergurau mengenai bom itu ketika berada di dalam pesawat.

Gurauan itu kemudian didengari oleh salah seorang pramugari yang bertugas.

"Kejadian sekitar pukul 10.00 (waktu Malaysia. Insiden itu berlaku dalam pesawat bernombor penerbangan IW 1307 iaitu penerbangan dari Lapangan Terbang Baubau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hasanuddin Makassar," kata Tesar Mardan kepada wartawan pada Selasa.

Tambahnya lagi, tindakan syarikat penerbangan menurunkan penumpang tersebut adalah kerana dia melanggar undang-undang dan lelaki berkenaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Kita sudah serahkan kepada pegawai keselamatan lapangan terbang termasuk polis,” katanya.

Berita itu turut tersebar secara meluas dalam media sosial dan warganet juga mengingatkan supaya tidak bergurau mengenai bom di lapangan terbang atau di dalam pesawat.

"Dengan izin, tolong jangan bergurau mengenai bom di lapangan terbang atau di dalam kapal terbang...pagi tadi bekas Ketua Daerah Busel diturunkan dari pesawat kerana gurauan bom...." tulis pesanan tersebut.

Sementara itu, salah seorang penumpang yang tidak mahu namanya didedahkan mengakui tentang kebenaran kejadian itu.

Menurutnya, gurauan itu berlaku ketika penumpang berada di dalam pesawat.

"Ya, betul, Arusani ialah individu yang diturunkan dari pesawat. Dia kata ada bom dalam beg pakaiannya, tetapi tidak," katanya ketika berada di Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin Makassar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram