HARAPAN Johor Darul Ta'zim (JDT) II untuk terus memberi tekanan terhadap pendahulu Liga A1 Semi Pro, Selangor FC II tidak kesampaian susulan kekalahan dialami kepada Kedah FA pada Isnin.
Dalam pertembungan di Stadium Darul Aman, Kedah tersebut, jaringan tunggal Rahmat Makasuf pada minit ke-17 sudah cukup untuk mengecewakan skuad muda Harimau Selatan.
Usaha bertali-arus dilancarkan pasukan pelawat sepanjang baki perlawanan tidak membuahkan hasil apabila disiplin skuad Lang Merah di barisan pertahanan begitu cemerlang.
BACA LAGI: ‘Kami bukan manusia ke?’, kelab Liga A1 kecewa pemain dicekik pengadil aksi jumpa Kedah
BACA LAGI: Dari Liga A1 ke skuad Jang, prospek warisan disebut-sebut ayam tambatan baharu NSFC
Perlawanan bagaimanapun bertukar tegang pada penghujung permainan apabila pemain gantian JDT II, Danish Syamer Tajuddin bertindak menumbuk belakang badan kapten Kedah FA, Pape Diakite.
Situasi berlaku apabila pertahanan import itu cuba melindungi bola daripada pihak lawan sementara ia bergolek perlahan ke dakapan rakan sepasukan, Rajendran Veloo.
Berang akan hal tersebut, Danish kemudian bertindak kasar dengan kelakuan tersebut berjaya dikesan pengadil, Kamal Ikhwan Yaacob yang tidak teragak-agak melayangkan kad merah.
Tindakan sedemikian sememangnya sukar diterima penonton, termasuk dalam kalangan peminat JDT sendiri yang mempersoalkan disiplin pemain terbabit.
"Ambil sahaja tindakan, kami pun tidak suka perangai pemain serupa ini. Lagi satu, boleh cuba cek dari mana asalnya. Asal usul pun kita boleh kenal kenapa perangai dia begitu," kata Suharli Haji Masrop.

Kedudukan carta Liga A1 Semi Pro selepas pertembungan epik antara JDT II dan Kedah FA. — Facebook/AFL
"Buang terus dari pasukan. Kalau bagus, disiplin 'out' pun tak guna. Dia lupa kot, sekarang di mana-mana ceruk sahaja ada kamera yang rekod perbuatan atas padang," kata Tok Nujum.
"Main sambil lewa. Apabila sudah hujung permainan, mental koyak kerana untuk skor gol tak dapat. Buat tindakan tak guna akal. Elok sangat dikenakan kad merah," kata Zalizan Izan.
Kekalahan itu menyaksikan usaha JDT II merapatkan jurang dengan Selangor FC II tidak kesampaian kerana kedua-dua pasukan kini dibezakan empat mata.
Namun, skuad muda Harimau Selatan masih berpeluang memberi tekanan kerana kurang beraksi satu perlawanan berbanding pendahulu carta itu.
Sementara itu, bagi Kedah FA pula, tiga mata dikutip dari laman sendiri menyaksikan mereka melonjak ke tempat ketiga dengan hanya satu mata dibezakan berbanding JDT II.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
