Pengalaman luas di Asia dan Eropah, arkitek baharu tak sabar bantu Selangor kejar kejuaraan


  • Podium
  • Khamis, 22 Jan 2026

Boumous merupakan pemain baharu yang diperkenalkan skuad Gergasi Merah pada jendela perpindahan kedua. — Facebook/selangorfc

HARAPAN Selangor FC untuk menjulang trofi musim ini masih belum tertutup dan perkara itu menjadi pembakar semangat kepada pemain import baharu mereka, Hugo Boumous.

Pemain berusia 30 tahun dari Perancis yang beraksi di posisi tengah menyerang itu diumumkan secara rasmi sebagai rekrut terbaharu pada Rabu bagi memperkuatkan skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dalam misi memburu kejuaraan musim ini.

Boumous menegaskan bahawa dia bersedia memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu Selangor, yang masih berpeluang meraih kejuaraan dalam dua pertandingan iaitu Piala Malaysia dan Piala Shopee.

BACA LAGI: Tersingkir awal Indonesia Masters, beregu lelaki negara terima ugutan, jadi mangsa buli siber

BACA LAGI: Nafi ada pertalian dengan legenda Liverpool, import Harimau Kumbang hargai jasa nenek cipta impak sendiri

Boumous (kiri) bersama pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon. Facebook/selangorfc

“Kami masih bersaing dalam liga dan beberapa kejohanan lain, jadi sasaran kami adalah untuk menamatkan musim di kedudukan terbaik.

“Saya akan memberikan segalanya untuk pasukan. Saya juga tidak sabar untuk bertemu penyokong, jumpa anda di stadium tidak lama lagi,” katanya.

Untuk rekod, Selangor telah tersingkir daripada dua kejohanan iaitu Piala FA dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Dalam saingan Liga Super pula, skuad Gergasi Merah ketinggalan jauh di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini mengumpul 45 mata berbanding Selangor di tempat kedua dengan 31 mata.

Bagaimanapun, keyakinan Boumous semakin meningkat dengan kehadiran barisan pemain berkualiti serta sokongan pasukan kejurulatihan yang mantap dalam skuad Merah Kuning.

Boumous merupakan rekrut terbaharu Selangor FC. Facebook/selangorfc

“Saya mempunyai rakan sepasukan yang berkualiti dan barisan kejurulatihan terbaik. Saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga ini,” ujarnya.

Pemain berketinggian 1.72 meter itu sebelum ini mencipta nama dalam saingan Liga Super India (ISL).

Boumous memulakan karier profesional di Perancis bersama Stade Laval B dengan 51 penampilan dan 11 gol sebelum dinaikkan ke pasukan utama Stade Lavallois, beraksi dalam Ligue 2 dan Piala Perancis.

Selepas itu, beliau berhijrah ke Maghribi menyertai Moghreb Tetouan sebelum benar-benar menyerlah di pentas ISL.

Kemuncak kariernya hadir pada musim 2019/2020 apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik ISL selepas membantu FC Goa dengan 20 gol dan 19 bantuan gol daripada 47 perlawanan.

Boumous kemudiannya menyertai Mumbai City dan menyumbang enam gol serta 10 bantuan gol dalam 16 perlawanan.

Kejayaannya diteruskan bersama Mohun Bagan SG dengan 70 penampilan, 14 gol dan 19 bantuan gol, sekali gus membantu kelab itu memenangi beberapa kejuaraan domestik termasuk dua gelaran Perisai Liga ISL, dua kejuaraan playoff ISL, Piala Durand dan Piala Super.

Pada musim berikutnya, Boumous menyertai Odisha FC dan memainkan peranan penting sebagai arkitek serangan dengan mencatat enam gol serta tujuh bantuan gol dalam 22 perlawanan. — The Star/LIM TEIK HUAT

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram