[VIDEO] Haqimi bukan muda lagi, sampai bila kena duduk bench? — Zainal Abidin


  • Podium
  • Khamis, 22 Jan 2026

Sejak menyertai TFC daripada JDT secara pinjaman pada Januari lepas, Haqimi merekodkan tiga penampilan dan satu bantuan gol. — Facebook/TFC

PENYERANG sayap kebangsaan, Haqimi Azim Rosli diingatkan supaya mendapatkan minit permainan yang konsisten jika masih mahu terus relevan dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Teguran itu disuarakan legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang menyifatkan pemain sayap Terengganu FC (TFC) berkenaan tidak lagi boleh bergantung kepada status pemain muda, sebaliknya perlu membuktikan kualiti sebenar sebagai tonggak peringkat kebangsaan.

Haqimi sebelum ini bergelut untuk memperoleh peluang beraksi bersama Kuala Lumpur (KL) City FC pada separuh pertama musim 2025/2026, sebelum memilih menyertai TFC secara pinjaman sehingga tamat musim bagi menghidupkan semula kariernya. 

BACA LAGI: Harimau Muda dilanda ujian tak diduga, Haqimi Azim pulang akibat kehilangan bapa tiri

BACA LAGI: Sukan SEA: Haqimi Azim mahu bawa Malaysia ke final sebagai jasa terakhir

Menurut Zainal Abidin, kekerapan bermain adalah elemen paling penting buat Haqimi, lebih-lebih lagi dengan usianya yang kini mencecah 23 tahun dan sudah beberapa musim berada dalam radar pasukan kebangsaan.

"Saya mengenali dia (Haqimi) boleh kata lama juga dan memerhatikan permainan dia. Sampai bila dia nak duduk di bangku simpanan? Saya tak anggap dia pemain muda lagi.

"Saya anggap dia seorang yang berkualiti nasional. Bila berkualiti nasional, sudah tiga tahun pun dia duduk di bangku simpanan lagi, ini bukan berkualiti nasional. Ini nak menunggu masa nak habis kerjaya.

"Jadi, dia harus berada dalam kesebelasan utama. Macam mana dia harus berada dalam kesebelasan, beliau kena main. Dia kena main dan beliau kena menjaga persembahan dia," katanya ketika menjadi panel program Arena Bola. 

Legenda Pahang itu turut menegaskan bahawa kegagalan mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama boleh memberi kesan besar terhadap masa depan Haqimi, termasuk peluang bersama skuad kebangsaan dalam tempoh jangka panjang.

Untuk rekod, sejak menyertai TFC daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) secara pinjaman, Haqimi merekodkan tiga penampilan dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan, sekali gus memberi gambaran awal kebangkitannya bersama Sang Penyu.

Pemain tinggi lampai berkenaan beraksi bersama KL City sejak musim 2022 dengan dia sudah mencetak 10 gol dan membuat empat hantaran bantuan dalam 73 perlawanan untuk Warga Kota. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram