MINAT mendalam terhadap bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dizahirkan secara kreatif apabila sepasang pengantin memilih tema pasukan gergasi itu sebagai konsep utama majlis perkahwinan mereka.
Sentuhan dekorasi berkonsepkan bola sepak JDT itu dikongsikan oleh Exclusive Haranie Bridal menerusi satu hantaran video di TikTok yang memaparkan keseluruhan suasana majlis, termasuk laluan masuk berkarpet merah yang dihiasi gerbang biru serta elemen dekorasi bertemakan sukan berkenaan.
Menerusi hantaran tersebut, pihak pengurusan dekorasi memaklumkan bahawa konsep berkenaan merupakan hasil kreativiti pasukan mereka.
“Alhamdulillah, hasil sentuhan Team Exclusive Haranie Bridal, maka terhasilnya dekorasi tema bola sepak JDT,” tulisnya.
@aanieeaass Alhmdulillah.. Hasil Sentuhan Team Exclusive Haranie Bridal.. Maka Terhasilnye Deco Tema Bola Sepak JDT.. @_wani12 @alifffarhan @mohdjohar61 #bridalmua #bridalbatupahat #pelamintrending #fyppppppppppppppppppppppp #viral bunyi asal - @JOHOR SOUTHERN TIGERS - user43642626211
Berdasarkan rakaman video itu, majlis perkahwinan pasangan, Razif dan Zulaika jelas menampilkan warna biru sebagai tona utama, seiring dengan identiti JDT.
Logo pasukan turut dipaparkan pada dekorasi, manakala replika bola sepak diletakkan di beberapa sudut termasuk di laluan masuk dan berhampiran pelamin.
Malah, bahagian meja makan pengantin turut dihias dengan elemen bola sepak, menjadikan konsep tersebut konsisten dari awal hingga akhir ruang majlis yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Menjengah ke ruangan komen, keunikan tema berkenaan menarik perhatian ramai.
“Cantiknya design ni, anak jati JDT hadir,” kata Siti Zul.
“Nasib tak pakai baju bola,” kata Dina Sahrudinn.
“Paling rare kahwin tema JDT,” kata Miera Edrose Adam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
